Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

STB teroka kemungkinan lain bagi pelancongan di Daerah Tasik Jurong

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Lembaga Pelancongan Singapura (STB) sedang meneroka kemungkinan-kemungkinan lain bagi pelancongan di Daerah Tasik Jurong.

Demikian menurut Menteri Negara Perdagangan dan Perusahaan Low Yen Ling hari ini (5 Jul).

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Anggota Parlimen (AP) Ang Wei Neng (Parti Tindakan Rakyat- Jurong) yang meminta kemas kini berhubung kawasan pembangunan baru bagi pelancongan, yang terletak di bahagian barat Singapura, yang diusulkan sebelum ini.

Satu permintaan bagi cadangan untuk membangunkan tapak di Daerah Tasik Jurong dilancarkan pada Mac 2022 dan ditutup pada Oktober tahun yang sama, tanpa sebarang cadangan diterima.

Cik Low berkata perang di Ukraine, selain kelembapan menyeluruh ekonomi sejagat, mewujudkan sekitaran ekonomi tidak menentu semasa tempoh tersebut, lebih-lebih lagi bagi sektor pelancongan.

"Sungguhpun demikian, STB kekal yakin dengan potensi pelancongan di tapak tersebut memandangkan ia terletak bersebelahan Pusat Sains baru dan juga Taman Tasik Jurong," kata beliau.

"Kami sedang memantau sentimen pasaran dan meneroka kemungkinan-kemungkinan lain untuk memanfaatkan potensinya."

Encik Ang kemudian bertanya tentang kesan pembangunan pelancongan di kawasan itu selepas projek Kereta Api Laju - dari Kuala Lumpur ke Jurong East - dengan Malaysia dibatalkan dan tender dibuka bagi tapak putih berdekatan pusat pertukaran Jurong East.

Cik Low berkata STB dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan sedang memantau rapi dan bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan berhubung potensi projek pembangunan pelancongan itu.

Beliau menambah pembangunan pelancongan dan tapak pembangunan yang baru-baru ini dilancarkan mempunyai objektif perancangan yang berbeza tetapi saling melengkapi.

Meski tapak pembangunan yang dijual itu akan dibangunkan sebahagian besarnya bagi ruang pejabat dan kediaman, tapak pelancongan - apabila siap dan dilancarkan - akan dibangunkan khususnya bagi kegunaan daya tarikan dan kegiatan masa senggang, kata Cik Low.

Tapak pelancongan itu juga akan melangkapi Taman Tasik Jurong seluas 90 hektar dan Pusat Sains baru yang akan dibina berdekatan.

"Rangkaian daya tarikan akan diadakan di sekitar tasik tersebut, semuanya di tengah-tengah suasana menghijau yang imersif dan indah untuk para pelawat, pekerja dan penduduk," ujar Cik Low.

Beliau juga memberikan sedikit maklumat latar mengenai pembangunan keseluruhan Daerah Tasik Jurong, dengan menarik perhatian bahawa daerah komersial teras dengan pusat belia-belah dan pejabat sudah dibangunkan di sekitar stesen MRT Jurong East sejak 2008.

Berkait Kereta Api Laju itu pula, beliau berkata: "Kami amat tertumpu kepada usaha untuk meneruskan dengan perancangan pemerintah bagi Daerah Tasik Jurong: misalnya, kerja-kerja naik taraf yang akan datang dari segi ketersambungan kereta api menerusi Laluan Daerah Jurong dan Laluan Rentas Pulau.

"Semua pembangunan ini - ketersambungan pengangkutan - tentu sekali akan mempertingkat kemudahan akses, daya tarikan Daerah Tasik Jurong sebagai pusat utama pengambilan pekerja."

Cik Low berkata pelancaran tapak baru-baru ini akan memulakan fasa seterusnya pembangunan bagi daerah tersebut.

"Perancangannya adalah untuk membangunkan Daerah Tasik Jurong menjadi daerah perniagaan pelbagai guna yang terbesar di luar pusat bandar," tambah beliau.

"Ini sejajar dengan objektif strategik Singapura bagi pemencaran."
Sumber : CNA/NK/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan