Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

STB pelawa saranan bagi pembangunan pelancongan bersepadu di Daerah Tasik Jurong

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lembaga Pelancongan Singapura (STB) mempelawa saranan untuk membangun dan mengendalikan projek pembangunan pelancongan bersepadu di Daerah Tasik Jurong.

Dalam satu kenyataan media pada Selasa (15 Mac), STB menyatakan pembangunan baru itu dijangka mempunyai "tempat penginapan bermutu tinggi" dengan sekitar 350 bilik hotel, serta pelbagai daya tarikan dan tempat membeli-belah, makanan dan minuman dan hiburan.

Rancangan untuk membangunkan tapak seluas 6.8 hektar bersebelahan Tasik Jurong itu diumumkan pada 2019. Matlamatnya untuk menjadikan kawasan itu sebuah hab gaya hidup dan pelancongan utama di daerah perniagaan terbesar Singapura di luar CBD.

Tarikh asal yang ditetapkan bagi projek pembangunan pelancongan bersepadu baru itu dilanjutkan daripada 2026 kepada 2028.

Pembangunan baru ini juga harus memberi tumpuan kepada teknologi, "hiburan dan pendidikan" serta kemampanan, menurut STB.

"Ia harus melengkapi daya tarikan yang sedia ada seperti Taman Tasik Jurong dan Pusat Sains baru, dan akan disepadukan dengan keseluruhan Daerah Tasik Jurong melalui rangkaian jalan raya mesra pejalan kaki dan ruang awam yang direka dengan baik."

Meliputi kawasan seluas 410 hektar, Daerah Tasik Jurong mempunyai empat kawasan utama: Jurong Gateway, bahagian komersil sedia ada sekitar stesen MRT Jurong East; kawasan baru pelbagai kegunaan di Lakeside East, sekitar stesen baru Laluan Rentas Pulau; Lakeside West, kawasan rekreasi dan hiburan berdekatan Taman Tasik Jurong; dan Taman Perniagaan Antarabangsa.

Apabila siap sepenuhnya, pembangunan bersepadu itu akan menyediakan lebih 100,000 pekerjaan baru dan 20,000 rumah baru, menurut STB.

"Terdapat rancangan juga untuk membangunkan Daerah Taman Jurong sebagai hab pengangkutan utama yang menghubungkan laluan kereta api sedia ada dan yang akan dibina kelak, bersama dengan rangkaian bas yang menghubungkan daerah itu dengan estet-estet kejiranan di sekitarnya," menurut STB.

Empat laluan MRT utama (Utara-Selatan, Timur-Barat serta Laluan Daerah Jurong dan Laluan Rentas Pulau yang akan datang) akan melalui Daerah Tasik Jurong menjelang awal 2030-han.

Tender untuk projek pembangunan pelancongan itu akan dibuka selama tujuh bulan, dan tarikh tutup untuk memberikan saranan ialah 18 Oktober.

Selepas tender diberikan, tapak tersebut akan dipajakkan kepada pemaju yang berjaya selama 60 tahun dan kerja-kerja binaan harus siap dalam masa lima tahun dari tarikh saranan diterima.

Sumber : Today/NY/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan