Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Status vaksinasi dalam aplikasi TraceTogether tidak berubah jika individu sudah ambil dos perangsang: Ong Ye Kung

Status vaksinasi individu dalam aplikasi TraceTogether tidak akan berubah tidak kira sama ada mereka sudah mengambil suntikan dos perangsang atau tidak, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung di Parlimen pada Isnin (4 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Status vaksinasi dalam aplikasi TraceTogether tidak berubah jika individu sudah ambil dos perangsang: Ong Ye Kung

(Gambar; AFP)

Diterbitkan : 04 Oct 2021 07:27PM Dikemas Kini : 04 Oct 2021 07:28PM

SINGAPURA: Status vaksinasi individu dalam aplikasi TraceTogether tidak akan berubah tidak kira sama ada mereka sudah mengambil suntikan dos perangsang atau tidak, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung di Parlimen pada Isnin (4 Okt).

Beliau menjawab pertanyaan oleh Anggota Parlimen (AP) Yip Hon Weng (PAP-Yio Chu Kang) tentang sama ada istilah "divaksin penuh" akan berubah untuk membezakan antara mereka yang sudah mengambil suntikan dos perangsang, dan bagaimana ini akan dipaparkan dalam aplikasi TraceTogether.

"Kami sedang memberikan dos perangsang, dan oleh itu belum timbul isu status vaksinasi yang luput," kata Encik Ong. "Namun kelak, ini merupakan satu isu yang perlu kami semak semula."

Tentang kemungkinan meneliti vaksin-vaksin lain bagi dos perangsang, Encik Ong berkata Kementerian Kesihatan (MOH) akan terus memberikan vaksin mRNA di bawah program vaksin perangsang nasional, "kerana data terbaik sedia ada menggunakan vaksin itu untuk mempertingkatkan kesan perlindungan yang baik."

Dua vaksin yang digunakan dalam program vaksinasi nasional Singapura adalah Pfizer-BioNTech/Comirnaty dan Moderna - kedua-duanya vaksin mRNA.

"Jawatankuasa pakar vaksinasi COVID-19 masih mengkaji strategi heterologus untuk memberikan suntikan dos perangsang vaksin bukan mRNA yang berbeza daripada dua dos utama mRNA sedang lebih banyak data diperolehi," kata Encik Ong.

"PERMULAAN MENGGALAKKAN" BAGI PROGRAM DOS PERANGSANG

Sekitar 550,000 individu dipelawa untuk mengambil suntikan dos perangsang, kata Encik Ong, yang mana 350,000 individu sudah mengambil suntikan mereka atau membuat janji temu.

"Saya rasa setakat ini, jumlah itu sudah meningkat, 240,000 daripada mereka sudah selesai menerima vaksin. Jadi kami berada pada permulaan yang menggalakkan," kata Encik Ong.

Sebelum ini diumumkan bahawa individu berusia 50 tahun dan ke atas yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin mereka sekurang-kurangnya jarak enam bulan lalu akan ditawarkan untuk menerima dos perangsang.

"Jawatankuasa pakar menyarankan, dan MOH menerima, bahawa individu yang layak mendapatkan dos perangsang itu akan meliputi individu berusia 50 tahun dan ke atas dan semua individu yang mempunyai daya tahan yang lemah," kata Encik Ong pada Isnin.

Beliau menambah bahawa jawatankuasa itu akan terus menyemak data antarabangsa untuk menilai keberkesanan dan keselamatan dos perangsang bagi kumpulan usia lebih muda serta mereka yang terdedah kepada sekitaran berisiko tinggi seperti petugas jagaan kesihatan dan barisan hadapan.

Individu yang layak dan sudah mengambil vaksin Sinovac atau Sinopharm turut akan dipelawa untuk mengambil suntikan dos perangsang mRNA, walaupun "belum tiba masanya" untuk ramai daripada mereka, kata Encik Ong.

VAKSINASI KUNCI DALAM PERJUANGAN COVID-19

Encik Ong menekankan bahawa vaksinasi kekal sebagai kunci utama dalam perjuangan Singapura melawan COVID-19.

"Mereka yang lengkap divaksinasi dengan vaksin Pfizer-BioNTech atau Moderna mempunyai sekitar 40 peratus perlindungan terhadap jangkitan daripada varian Delta," katanya.

"Meskipun begitu, kedua-dua vaksin tetap sangat berkesan untuk melindungi individu daripada menghidap penyakit teruk kerana jangkitan COVID-19."

Selain itu, jumlah individu yang mengambil vaksin Sinovac di Singapura kekal rendah, iaitu "kurang dua peratus" daripada penduduk, kata Encik Ong.

Oleh itu, MOH tidak mempunyai data pada ketika ini untuk mengukur keberkesanannya terhadap jangkitan atau penyakit teruk.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan