Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Status Sun Cable dan bagaimana ia jejas projek tenaga suria Australia-SG yang tergendala

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Syarikat tenaga boleh diperbaharui, Sun Cable, menyatakan pada Khamis (12 Jan) bahawa ia akan memasuki pentabiran sukarela selepas para pelabur firma itu gagal mencapai kata putus berhubung struktur pendanaan dan hala tuju yang harus diambil.

Pengurusan sukarela merujuk kepada proses di mana pengarah-pengarah sesebuah syarikat melantik pentadbir bebas untuk mencarta hala tuju seterusnya bagi perniagaan tersebut, yang biasanya dilanda masalah kewangan.

Sun Cable merupakan syarikat di sebalik projek Australia-Asia PowerLink bernilai A$30 bilion (S$27.5 bilion), yang merancang untuk menyalurkan tenaga suria dari Australia ke rantau Asia-Pasifik.

Syarikat tersebut menyatakan bahawa ia akan mengumpulkan tenaga suria di Northern Territory, Australia, dan menyalurkannya untuk kegunaan di Darwin, yang juga terletak dalam Northern Territory, serta Singapura.

Ia merancang memulakan kerja-kerja binaan kabel bawah laut sepanjang 4,200 kilometer pada 2024 dan dijadual beroperasi sepenuhnya pada 2029. Menurut Sun Cable, projek itu berupaya membawa 3.2 gigawatt (GW) elektrik dan membekalkan sehingga 15 peratus daripada jumlah keperluan elektrik Singapura.

Syarikat itu, diasaskan pada 2018, mempunyai pejabat di Singapura, Jakarta dan beberapa bandar di Australia.

Dalam kes ini, Sun Cable menerima saranan pendanaan namun, "kata putus mengenai hala tuju dan struktur pendanaan syarikat tidak dapat dicapai", menurut kenyataan media.

Pelabur-pelabur utama termasuk syarikat pelaburan persendirian, Grok Ventures, dan Squadron Energy di Australia, namun Sun Cable juga mengumpul dana daripada pelabur privet lain.

Pada Mac 2022, Sun Cable menyatakan bahawa ia mengumpulkan dana sebanyak A$210 juta (S$193 juta). Bagaimanapun, tidak semua dana itu dihulurkan kepada syarikat tersebut kerana ia gagal mencapai beberapa matlamat tertentu, lapor Reuters.

Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan Dr Tan See Leng berkata pada Januari 2021 bahawa perbincangan masih dijalankan berhubung saranan Sun Cable untuk membekalkan tenaga suria ke Singapura. Dr Tan berkata Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) tidak boleh memberikan butiran lanjut disebabkan "sensitiviti komersil".

Anak syarikat Sun Cable di Singapura belum jatuh muflis dan kakitangannya kekal bertugas. Namun, memandangkan syarikat induknya di Australia dalam proses jatuh muflis, kakitangan di Singapura mungkin akan terjejas pada masa hadapan.
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan