Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Status sosioekonomi pengaruhi pencapaian akademik pelajar Melayu/Islam

Adanya kaitan besar antara status sosioekonomi keluarga dan pencapaian akademik pelajar.

Anggaran Waktu Membaca:
Status sosioekonomi pengaruhi pencapaian akademik pelajar Melayu/Islam

Simposium MENDAKI 2022 di Pusat Konvensyen Suntec City pada Khamis (30 Jun). (Gambar: MENDAKI)

BERITAmediacorp: Status sosioekonomi keluarga mempengaruhi pencapaian akademik pelajar Melayu/Islam.

Demikian antara lima dapatan utama satu kajian selama tiga tahun yang dijalankan Yayasan MENDAKI dan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

Dapatan kajian yang dibiayai Yayasan Temasek itu didedahkan di Simposium MENDAKI 2022 di Pusat Konvensyen Suntec City pada Khamis (30 Jun)

Kajian itu memberi tumpuan terhadap bidang kajian dan analitik data bagi memantau prestasi akademik para pelajar yang mengikuti Skim Tuisyen Mendaki (MTS) dan juga keluarga Melayu/Islam setempat.

Ia menggunakan data daripada lebih 12,000 pelajar MTS dari kohort 2018 hingga 2022.

Hasil kajian itu menunjukkan adanya kaitan besar antara status sosioekonomi keluarga dan pencapaian akademik pelajar.

Ia juga mendedahkan bahawa motivasi dan penglibatan pelajar berkait rapat dengan prestasi akademik mereka.

Pelajar MTS yang mempunyai dorongan intrinsik mempunyai tahap pencapaian yang lebih tinggi, menunjukkan tahap kebimbangan yang lebih rendah dan memperoleh daya tanggapan yang lebih tinggi dari segi kecekapan dan penglibatan dalam pembelajaran.

Kajian itu juga mendapati bahawa prestasi dalam mata pelajaran Matematik sangat berkait rapat dengan prestasi keseluruhan akademik pelajar.

Selain itu, prestasi akademik seseorang pelajar itu juga ada kaitannya dengan kegiatan dan pencapaian bukan akademiknya.

Ini kerana pelajar yang lebih kukuh dari segi akademik dan menyertai kegiatan ko-kurikular juga didapati meraih gred yang lebih baik.

"Kita melihat prestasi matematik juga amat penting. jika kita lihat kebolehan mereka keseluruhannya.

Yang kedua bagi mereka yang hari ini mempunyai prestasi yang lebih baik mereka juga berkecimpung dalam aktiviti luar darjah (CCA) di sekolah," kata Timbalan Pengerusi Yayasan MENDAKI Encik Zaqy Mohamad.

"Motivasi juga satu faktor juga di mana jika keluarga ibu bapa mereka mempunyai motivasi yang tinggi anak juga mempunyai motivasi yang tinggi," tambah beliau.

Menurut Encik Zaqy dapatan kajian itu memberi Yayasan MENDAKI gambaran yang lebih mendalam dan jangkaan yang lebih awal untuk menyediakan bantuan yang lebih bersesuaian.

"Kita hari ini mempunyai peranan untuk menyelidik atau menggunakan data untuk meninjau bagaimana kita menjalankan program kita atau melancarkan program baru.

Pada masa yang sama, ia membolehkan kita meningkatkan keupayaan kita untuk mengisi ruang di mana mungkin kita dapat menolong masyarakat dengan lebih baik dan dengan lebih efektif," tambah beliau.

Selain itu, dapatan itu akan juga digunakan untuk memperhalusi dan memperluaskan program-program yang sedia ada seperti KelasMateMatika (KMM) yang kini menarik lebih 3,000 peserta.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan