Skip to main content

Singapura

Status lengkap divaksin kira-kira 1,000 individu ambil suntikan bukan mRNA dijangka tamat tempoh

Anggaran Waktu Membaca:
Status lengkap divaksin kira-kira 1,000 individu ambil suntikan bukan mRNA dijangka tamat tempoh

Gambar fail vaksin COVID-19 Sinovac. (Gambar: Lillian Suwanrumph/AFP)

Diterbitkan : 15 Feb 2022 07:13PM

SINGAPURA: Antara mereka yang sudah melengkapkan rejim vaksinasi COVID-19 dengan vaksin-vaksin bukan mRNA, kira-kira 1,000 individu masih belum menerima suntikan dos penggalak setakat 9 Februari dan status lengkap divaksin mereka akan tamat tempoh menjelang 14 Februari. 

Menteri Negara Kanan Kesihatan Dr Janil Puthucheary memberi perangkaan berkenaan di Parlimen hari ini (15 Feb), sebagai menjawab pertanyaan AP Yip Hon Weng (PAP-Yio Chu Kang). 

Ia diumumkan sebelum ini bahawa mulai 14 Februari, mereka yang berusia 18 tahun ke atas harus mengambil suntikan dos penggalak selang 270 hari selepas melengkapkan siri vaksinasi utama mereka untuk mengenalkan status lengkap divaksin mereka. 

Bagi mereka yang sudah menerima vaksin Sinovac sebagai sebahagian daripada siri vaksinasi utama tiga dos, mereka harus menerima vaksin mRNA sebagai dos penggalak, menurut Kementerian Kesihatan (MOH). 

Mereka yang tidak layak untuk menerima vaksin mRNA boleh menerima suntikan Sinovac bagi dos penggalak mereka di bawah program vaksinasi kebangsaan, kata Dr Puthucheary. 

Ini hanya untuk mereka yang berusia 18 tahun ke atas, tambahnya, memandangkan pembekal vaksin tidak menyertakan kanak-kanak dan remaja semasa mendaftar untuk mendapatkan kelulusan sementara vaksin tersebut di bawah Laluan Akses Khas Pandemik (PSAR). 

"Kedua-dua vaksin Sinovac-CoronaVac dan Sinopharm masih belum disarankan untuk digunakan bagi individu-individu di bawah usia 18 tahun menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)," tambah Dr Puthucheary. 

PROGRAM KHAS UNTUK VAKSIN SINOVAC

Namun, data terhad daripada ujian awal Fasa Satu dan Dua Sinovac dalam kalangan orang muda, berusia antara tiga dengan 17 tahun, tidak menimbulkan sebarang isu keselamatan, kata Dr Puthucheary. 

Lantaran itu, MOH memperkenalkan program khas, Sinovac selepas mRNA (SAM), di luar program vaksin kebangsaan untuk menawarkan vaksin Sinovac kepada individu-individu berusia antara 12 dengan 17 tahun yang tidak layak dari segi perubatan untuk menerima vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech/Comirnaty, tambahnya. 

Ini untuk memberikan perlindungan terhadap COVID-19 sementara memantau rapi keselamatan mereka, kata Dr Puthucheary. Oleh itu, SAM merupakan sebahagian daripada kajian yang dilakukan, tambahnya. 

Pada Januari, program tersebut dilanjutkan kepada kanak-kanak yang layak, berusia antara lima hingga 11 tahun, setelah data daripada kelompok usia yang lebih tua menunjukkan bahawa secara amnya, profil keselamatan vaksin konsisten dengan vaksin-vaksin lain yang digunakan untuk memberi daya imun terhadap penyakit-penyakit lain. 

Dr Puthucheary berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan daripada AP Gerald Giam (WP-Aljunied), yang bertanya tentang keputusan untuk menghadkan penggunaan vaksin Sinovac dan Sinopharm yang tidak disediakan untuk kanak-kanak dan remaja. 

Encik Giam juga bertanya sama ada kementerian tersebut merancang untuk menawarkan sekurang-kurangnya satu vaksin bukan mRNA kepada kanak-kanak di bawah usia 18 tahun agar dapat meningkatkan lagi kadar vaksinasi penduduk Singapura. 

Dr Puthucheary berkata bahawa MOH sedang berusaha untuk membawa masuk pilihan vaksin lain untuk mereka yang tidak layak bagi vaksin mRNA dari sudut perubatan. 

Beliau juga menarik perhatian bahawa vaksin bukan mRNA keluaran Novavax diluluskan baru-baru ini untuk individu-individu berusia 18 tahun dan ke atas. 

Menjawab pertanyaan AP Dennis Tan (WP-Hougang) tentang sama ada menteri tersebut sudah menemui sebarang data yang menyokong atau menolak penggunaan Novavax bagi kanak-kanak bawah usia 12 tahun, Dr Puthucheary merujuk kepada keputusan ujian fasa lewat di Amerika Syarikat yang mendapati bahawa vaksin tersebut 80 peratus berkesan terhadap COVID-19 dalam kalangan remaja berusia antara 12 dengan 17 tahun. 

"HSA dan MOH akan menyemak data daripada kajian ini dan akan terus memantau untuk lebih banyak data tentang keberkesanan dan keselamatan vaksin berkenaan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja," tambahnya. 

"Kami berharap bekalan pertama vaksin COVID-19 Novavax akan tiba di Singapura dalam masa beberapa bulan akan datang, jika tiada gangguan pada jadual penghantaran," kata Dr Puthucheary. 

"Sementara itu, mereka yang layak digalakkan untuk menerima suntikan vaksin mRNA yang sedia ada, memandangkan vaksin-vaksin itu menawarkan perlindungan lebih tinggi."
 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita