Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

StarHub berhentikan 300 pekerja sepenuh masanya

StarHub bakal memberhentikan 300 pekerja sepenuh masanya sedang syarikat telko itu menjalani penyusunan semula di tengah-tengah persaingan sengit industri.

Anggaran Waktu Membaca:
StarHub berhentikan 300 pekerja sepenuh masanya

Gambar fail. (Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 03 Oct 2018 09:05PM Dikemas Kini : 03 Oct 2018 09:09PM

SINGAPURA: StarHub bakal memberhentikan 300 pekerja sepenuh masanya sedang syarikat telko itu menjalani penyusunan semula di tengah-tengah persaingan sengit industri.

Sebagai sebahagian daripada Inisiatif-Inisiatif Transformasi Kecekapan Strategiknya, StarHub menyatakan bahawa "satu program kecekapan operasi" untuk meningkatkan daya penghasilan dijalankan, yang memerlukan pemberhentian pekerja.

Sekitar 300 daripada 2,500 kakitangan sepenuh masanya akan terjejas, menurut StarHub, di mana sebahagian besarnya bukan kakitangan perkhidmatan pelanggan.

StarHub menyatakan hari ini (3 Okt) bahawa ia akan mula memaklumkan para pekerja yang terjejas selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Pendapatan StarHub terus menjunam sepanjang 10 suku lalu di tengah-tengah persaingan sengit dalam industri.

Syarikat telko itu terakhir kali mencatat kenaikan keuntungan pada suku kedua 2016, dengan perolehan bersihnya meningkat sebanyak 9.6 peratus berbanding tahun sebelumnya. Bagaimanapun, keuntungan bersih tahun jatuh 8.3 peratus kepada S$341.4 juta.

Pada 2017, untung bersihnya menjunam lagi, sebanyak 27.1 peratus kepada S$249 juta. Harga saham turut terjejas, merosot 34 peratus sejauh ini bagi tahun 2018 ini.

Penyusunan semula StarHub dijangka membantunya menjimatkan S$210 juta bagi tempoh tiga tahun bermula 2019.

StarHub menambah, ia akan bekerjasama dengan Kesatuan Pekerja Perkhidmatan dan Perusahaan Singapura (SISEU), Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) NTUC dan agensi-agensi pemerintah seperti Agensi Tenaga Kerja Singapura, untuk mengenal pasti jawatan-jawatan sesuai bagi para pekerja yang terjejas.

Keputusan untuk memberhentikan 300 pekerja sepenuh masanya bukan sesuatu yang mudah, kata Ketua Pegawai Eksekutif StarHub. "Kami ingin mengiktiraf sumbangan para pekerja kami dalam kemajuan syarikat. Ia bukan keputusan yang mudah."

StarHub selanjutnya menyatakan bahawa ia akan terus menumpukan pelaburan ke dalam perniagaan-perniagaan barunya, seperti usaha samanya dengan Ensign InfoSecurity dalam bidang keselamatan siber, sementara berusaha untuk menyampaikan khidmat lebih baik kepada para pelanggan.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan