Skip to main content

Singapura

Stamford Catering Services didenda S$8,000 selepas berpuluh-puluh jatuh sakit pada 2024 dan 2025

Stamford Catering Services didenda S$8,000 pada Rabu (20 Mei) atas kelemahannya dari segi keselamatan makanan selepas berpuluh-puluh individu jatuh sakit pada 2024 dan 2025 setelah memakan hidangan yang disediakannya, menurut Agensi Makanan Singapura (SFA).

Anggaran Waktu Membaca:
Stamford Catering Services didenda S$8,000 selepas berpuluh-puluh jatuh sakit pada 2024 dan 2025

Air bertakung di luar bilik penyejuk (kiri) dan pemanas makanan yang kotor di Stamford Catering Services. (Gambar: SFA)

Diterbitkan : 20 May 2026 10:38PM
SINGAPURA: Stamford Catering Services didenda S$8,000 pada Rabu (20 Mei) atas kelemahannya dari segi keselamatan makanan selepas berpuluh-puluh individu jatuh sakit pada 2024 dan 2025 setelah memakan hidangan yang disediakannya, menurut Agensi Makanan Singapura (SFA).

Pada Oktober 2024, Kementerian Kesihatan (MOH) dan SFA menerima laporan berhubung kes radang perut yang menjejas 160 individu yang memakan hidangan katering yang disediakan syarikat tersebut.

Pemeriksaan bersama di premis Stamford Catering di 24A Senoko South Road kemudian dijalankan oleh beberapa pegawai MOH dan SFA.

Beberapa kelemahan berkaitan keselamatan makanan ditemui semasa pemeriksaan tersebut, termasuk air yang bertakung di dalam premis, siling kotor dalam bilik penyejuk dan soket-soket elektrik yang tidak ditutup dan dicemari sisa makanan yang berpotensi menjadi tempat pembiakan serangga perosak.

SFA menggantung operasi perniagaan makanan Stamford Catering antara 14 Oktober hingga 29 Oktober 2024.

Penggantungan itu ditarik balik pada 30 Oktober selepas syarikat katering tersebut melaksanakan langkah yang diperlukan.

Pada Februari 2025, SFA menerima dua lagi laporan berhubung insiden yang disyaki radang perut melibatkan 22 individu yang memakan hidangan katering yang disediakan oleh Stamford Catering.

Kelemahan berkaitan kebersihan sekali lagi ditemui semasa pemeriksaan SFA di premis syarikat katering tersebut.

Antara kelemahan tersebut termasuk pemanas makanan, mesin minuman dan mesin pembuat ais yang kotor, papan siling yang kotor di kawasan dapur serta kesan kotoran coklat yang menitis dari hud ekzos.

Stamford Catering diarahkan untuk membaiki kelemahan tersebut dan meningkatkan tahap kebersihan premisnya.

Pada 2019, gred kebersihan makanan syarikat katering itu diturunkan kepada 'C' selepas satu insiden keracunan makanan yang menjejas lebih 50 individu.

Pemeriksaan bersama oleh MOH dan SFA ketika itu mendapati tahap bakteria yang tinggi dalam sampel makanan dan persekitaran yang diambil. Kelemahan kebersihan lain, seperti penyenggaraan peralatan yang lemah, turut ditemui.

“Keselamatan makanan adalah tanggungjawab bersama kerana makanan boleh tercemar di mana-mana peringkat dalam rantaian makanan,” kata SFA, sambil menambah bahawa pihaknya kekal berwaspada dan berusaha memastikan peraturan dikuatkuasakan dengan sewajarnya.

Ia turut menggesa para pemain industri dan pengguna untuk memainkan peranan masing-masing.

Orang ramai yang menemui amalan keselamatan makanan yang lemah di premis makanan dinasihatkan supaya tidak mengunjungi premis tersebut.

“Premis makanan perlu memastikan tempatnya bersih dan disenggara dengan baik, selain mematuhi syarat-syarat kebersihan dan keselamatan makanan yang sewajarnya,” kata SFA.

“SFA tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pengendali makanan yang tidak mematuhi peraturan keselamatan makanan.”

Jika didapati bersalah, pesalah boleh didenda sehingga S$5,000, dengan denda tambahan sehingga S$100 bagi setiap hari atau sebahagian daripadanya jika kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita