Stamford Catering Services dibenar kembali beroperasi selepas digantung lesen dek 160 kes radang perut
Agensi Makanan Singapura (SFA) menarik balik penggantungan operasi Stamford Catering Services di Senoko South Road selepas beberapa aduan dibuat berhubung keracunan makanan.

(Gambar: Facebook/Stamford Catering)
"Memandangkan pemegang lesen itu sudah melaksanakan langkah-langkah yang diperlukan seperti yang ditetapkan SFA, ia boleh kembali beroperasi," menurut agensi itu dalam kenyataan medianya pada Rabu (30 Okt).
Kementerian Kesihatan (MOH) dan SFA menerima beberapa aduan keradangan perut yang menjejas 160 individu yang memakan hidangan yang disediakan oleh katerer itu antara 9 Oktober hingga 13 Oktober.
Tiada individu yang dimasukkan ke hospital, dedah SFA.
"Bagi melindungi pengguna daripada lebih banyak risiko kesihatan awam, operasi perniagaan makanan Stamford Catering Services digantung oleh SFA dari 14 Oktober hingga 29 Oktober," tambahnya.
Pada 14 Oktober, SFA dan MOH menyatakan pihaknya sedang menyiasat tiga insiden keradangan perut yang menjejas 51 orang yang memakan hidangan yang disediakan oleh katerer berkenaan pada 12 Oktober.
Semasa tempoh penggantungan operasi, Stamford Catering Services membasmi kuman dan membersihkan premisnya, termasuk peralatan dan perkakas.
Ia juga membasmi kuman pada permukaan persiapan makanan, meja dan lantai, menurut SFA.
Pengendali makanan juga menghadiri semula dan lulus kursus mengenai keselamatan makanan, sementara pegawai kebersihan makanan juga menghadiri semula dan lulus kursus audit kebersihan makanan dan minuman (F&B) tatalaku WSQ.
Syarikat itu turut menggantikan soket elektrik yang retak dan penutupnya, serta memperbaiki lantai yang mengumpul air, dedah SFA.
Selepas penggantungan operasi itu ditarik balik, SFA menyatakan pihaknya akan terus memantau Stamford Catering Services dengan rapi demi memastikan ia mematuhi syarat keselamatan makanan.
Agensi berkenaan juga menimbangkan dapatan siasatan ke atas keradangan perut yang berlaku dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan sekiranya pengendali makanan didapati melanggar peraturan kebersihan makanan, jelasnya.
Pesalah boleh didenda sehingga S$2,000 dan, bagi kes kesalahan berulang, boleh dikenakan denda maksimum S$100 bagi setiap hari atau kurang daripada itu, semasa kesalahan itu terus dilakukan selepas didakwa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.