Skip to main content

Singapura

Stadium Tertutup SG bangunan 'ikonik' dan bersejarah yang harus dipulihara: pakar

Anggaran Waktu Membaca:
Stadium Tertutup SG bangunan 'ikonik' dan bersejarah yang harus dipulihara: pakar

Stadium Tertutup Singapura. (Gambar: CNA/Gaya Chandramohan)

SINGAPURA: Meski begitu banyak kenangan manis dicipta di Stadium Tertutup Singapura termasuk konsert-konsert dan acara sukan besar bagi ramai orang, salah satu memori awal yang terpahat dalam ingatan jurugambar seni bina Darren Soh agak berbeza namun tetap meninggalkan kesan mendalam.

Pada 1997, Encik Soh yang ketika itu seorang pelajar 'intern' di akhbar The Straits Times, ditugaskan membuat liputan mengenai upacara penghormatan terakhir bagi mangsa nahas pesawat SilkAir MI185 yang terhempas di Palembang, mengorbankan semua penumpang dan anak kapal.

"Ribuan bunga diletakkan di luar Stadium Tertutup...Saya mengambil gambar seseorang yang sedang tunduk sebagai tanda penghormatan," kongsi beliau bersama Mediacorp.

"Membuat liputan mengenainya...membuat saya rasa yang saya melakukan sesuatu yang bermakna, bagi seseorang yang masih muda."

Beberapa dekad kemudian, diumumkan pada Khamis (7 Mac) bahawa pihak berkuasa sedang merancang untuk membina sebuah arena tertutup baharu bersebelahan stadium tersebut dan dijangka menjadi antara “yang terbaik di dunia”, kata Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong di Parlimen.

Memandangkan perancangan masih di peringkat awal, Stadium Tertutup, yang dibuka rasmi pada hari terakhir 1989, akan terus beroperasi sehingga arena baharu itu siap.

MERCU TANDA BERSEJARAH

Pembinaan Stadium Tertutup Singapura - untuk menggantikan Stadium Tertutup Geylang - bermula pada 1987. Kos untuk membinanya sekitar S$90 juta dan ia merupakan salah satu bangunan satu aras tertinggi di Asia.

Ia direka oleh jurubina Jepun Kenzo Tange, yang dianugerahi Hadiah Seni Bina Pritzker yang berprestij pada 1987. Beliau juga mereka bentuk Universiti Teknologi Nanyang.

Para pakar yang ditemu bual Mediacorp berkata mereka berharap Stadium Tertutup dikekalkan atas sebab nilai warisan.

"Stadium Tertutup Singapura sudah menjadi sebahagian utama panorama Kallang selama lebih tiga dekad. Seni binanya yang menyerlah dan ikonik sudah mencipta begitu banyak kenangan bagi generasi demi generasi," kata Encik Chow Kim Nam, Timbalan Pengarah Sekolah Seni Bina dan Sekitaran Terbina Politeknik Singapura (SP).

Encik Ho Weng Hin, pengasas bersama syarikat perundingan spesialis pemuliharaan seni bina Studio Lapis, berkata selepas Stadium Negara yang lama diruntuhkan, hanya tinggal Stadium Tertutup yang menjadi "kenangan dari satu era".
Stadium Tertutup Singapura. (Gambar: CNA/Gaya Chandramohan)
Ahli sejarah seni bina dan bandar Lai Chee Kien percaya bangunan itu sebahagian daripada "warisan seni bina dunia".

"Apabila Stadium Negara dirobohkan, memori zaman kegemilangan Kallang Wave (Gelombang Kallang) serta kenangan penting yang mengeratkan hubungan antara rakyat seperti Perbarisan Hari Kebangsaan dan pesta lain juga terhapus," kata beliau.

Profesor Madya Yeo Kang Shua dari Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) prihatin tentang kemungkinan Stadium Tertutup dirobohkan.

"Stadium ini adalah sebahagian lipatan sejarah sosial dan seni bina kita. Ciri rekaan bumbungnya sudah menjadi mercu tanda di Kallang selama 35 tahun," ujar beliau.

Merobohkan struktur itu juga akan menyebabkan pelepasan karbon - gas rumah hijau dilepaskan daripada bahan-bahan bangunan - dan meninggalkan kesan negatif ke atas sekitaran, kata Encik Soh, seorang jurugambar.

"Saya faham SportSG (Sport Singapore) dan MCCY (Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia) belum dengan jelas menyatakan mereka akan merobohkan bangunan itu.

"Jadi ini peluang untuk kami yang berasa ia (Stadium Tertutup Singapura) perlu dikekalkan untuk bersuara," tambah beliau.

KETERBATASAN SEDIA ADA

Antara sebab yang dibentangkan bagi pembinaan arena baharu termasuk konsert dan acara sukan besar-besaran seringkali memerlukan lebih banyak tenaga kuasa yang tidak mampu ditampung prasarana Stadium Tertutup sekarang, menurut MCCY minggu lalu.

Selain itu, negara-negara di rantau ini sudah membina atau sedang membina arena tertutup yang boleh menganjurkan acara-acara lebih canggih atau lebih banyak acara. Ia juga menawarkan nilai lebih besar kepada penonton.

Beberapa acara sukan dan hiburan berskala besar sudah diadakan di Stadium Tertutup. Ia termasuk Rolling Stones, Sting, Whitney Houston dan Elton John.

Pada tahun lalu, bintang Cantopop Jacky Cheung dan kumpulan veteran K-pop Shinee juga mengadakan persembahan di Stadium Tertutup Singapura.
Stadium Tertutup Singapura. (Photo: CNA/Gaya Chandramohan)
Salah satu acara sukan yang pernah diadakan di Stadium Tertutup dalam tiga dekad lalu termasuk Terbuka Singapura, yang pertama kali diadakan di sini pada 1990.

Meskipun Stadium Tertutup kekal sebagai salah satu "lokasi unggul" bagi Persekutuan Badminton Sedunia, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Badminton Singapura (SBA), Alan Ow menarik perhatian beberapa cabaran semasa penganjuran acara Terbuka.

Ini termasuk kurangnya pilihan hopitaliti bagi tetamu korporat, yang boleh menyukarkan proses mendapatkan penaja.

Satu lagu isu adalah reka bentuk Stadium Tertutup yang tidak membolehkan penggunaan teknologi-teknologi baharu dalam sukan seperti Hawkeye, kata Encik Ow.

Ia adalah sistem penjejakan yang digunakan bagi cabaran memastikan bulu tangkis jatuh dalam atau luar gelanggang bagi sukan badminton, misalnya.

Ruang juga diperlukan untuk pengendali sistem kamera dan ini bermakna sebahagian tempat duduk perlu ditutup.

Standard yang diperlukan untuk sesebuah lokasi menganjurkan acara antarabangsa sudah menjadi "semakin tinggi" sekarang, kata Profesor Madya Joseph Lim dari jabatan seni bina Universiti Nasional Singapura.

Pembinaan arena baharu membolehkan pemasangan teknologi audio visual terkini, selain mewujudkan ruang-ruang tambahan yang boleh digunakan setiap hari.

Pakar lain pula menggesa pihak berkuasa menimbangkan langkah menaik taraf reka bentuk Stadium Tertutup.

Mereka merujuk kepada satu lagi bangunan yang direka oleh Encik Tange, iaitu Gimnasium Nasional Yoyogi di Jepun, yang dibina bagi Sukan Olimpik Tokyo 1964.

Ia kemudian menjalani pelbagai kerja-kerja naik taraf dan selepas itu menjadi lokasi pertandingan bagi Olimpik 2020.

Dalam masa yang sama, para pakar akur akan keterbatasan kerja-kerja naik taraf bangunan sedia ada.

Salah satu cabaran ialah untuk menambah tempat duduk misalnya, memandangkan usia dan reka bentuk Stadum Tertutup, termasuk ciri bumbungnya.

"Sekalipun demikian, ia adalah langkah berhemat untuk menilai semua pilihan menyesuaikan semula bangunan berdasarkan semangat mendakapi pembangunan mampan," kata Encik Chow.

Encik Ho pula menyarankan bangunan sedia ada diperluaskan. "Ia bergantung kepada kreativiti pemilik, pereka dan perancang untuk membolehkannya."
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita