Skip to main content

Singapura

Stadium Bishan dinaik taraf bagi pertarungan Lion City Sailors- Sharjah FC dalam peringkat akhir ACL2

Anggaran Waktu Membaca:
Stadium Bishan dinaik taraf bagi pertarungan Lion City Sailors- Sharjah FC dalam peringkat akhir ACL2
Diterbitkan : 12 May 2025 09:49PM Dikemas Kini : 12 May 2025 11:28PM
SINGAPURA: Bishan sedang menjalani kerja-kerja naik taraf segera demi memenuhi piawai yang diperlukan, untuk menganjurkan perlawanan akhir Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).

Kelab Singapura, Lion City Sailors akan bertarung dengan Sharjah FC dari Amiriah Arab Bersatu (UAE) pada Ahad (18 Mei).

Buat pertama kalinya, sebuah kelab Singapura akan berentap dalam perlawanan akhir ACL2.

Stadium Bishan pula akan menjadi tuan rumah bagi acara bersejarah itu.

Antara peningkatan yang perlu dilakukan bagi perlawanan tersebut, termasuklah menambah kapasiti stadium kepada 10,000 penonton, iaitu tiga setengah kali lebih banyak berbanding kapasiti sedia ada.

Selain itu, rumput padang bola juga diperkemas.

Menurut pakar padang bola sepak ini, kualiti rumput yang digunakan di sini sama seperti yang digunakan di Stadium Negara, dan beliau bekerja setiap hari untuk menyiapkan permukaan tersebut.

Arkitek padang, Pengurusan Sukan Kallang Alive Johnathan Teo berkata: "Stadium Negara mempunyai kubah dan mikroiklim, manakala di sini pula terbuka dan mempunyai sekitaran semula jadi.

"Apa yang saya boleh katakan berbeza ialah rejim penyelenggaraannya.

"Objektif saya adalah untuk meningkatkan taraf padang ini kepada taraf perlawanan, dan itu bermakna ia perlu selaras dengan piawai atau keperluan FIFA."

Tempat duduk untuk pemain simpanan dan anggota jurulatih pula akan dipindahkan dari Stadium Negara.

Lampu stadium juga sudah dipertingkat.

Lokar baharu juga dipasang di bilik pakaian.

Ketua Operasi, Lion City Sailors Carolyn Chia berkata: "Sejak awal persediaan, kami sering berkongsi kemas kini baharu bersama AFC supaya mereka dapat mengikuti perkembangan kerja-kerja penambahbaikan, fasa-fasa perkembangan yang berbeza.

"Juga untuk memberi mereka jaminan bahawa kami bersedia untuk menganjurkan perlawanan nanti."

Para penonton dijangka dapat menikmati pengalaman hari perlawanan yang lebih baik lagi, dengan dua buah layar besar yang baharu akan dipasang di hujung stadium.

Gerai makanan bergerak dan permainan karnival juga akan dibuka di luar stadium.

Tiket bagi perlawanan akhir itu sudah habis dijual.

Perlawanan tersebut sepatutnya diadakan di Stadium Negara yang boleh menampung 55,000 penonton, namun tempat alternatif diperlukan kerana tarikhnya bertembung dengan konsert Lady Gaga.
Sumber : CNA/QA/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita