Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

ST Engineering semak rapi sistem susuli pencerobohan data di AS

ST Engineering sedang melakukan "semakan menyeluruh " terhadap sistem-sistemnya setelah berlaku pencerobohan data di VT San Antonio Aerospace iaitu anak syarikatnya di Amerika Syarikat, menurut syarikat itu pada Ahad (7 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
ST Engineering semak rapi sistem susuli pencerobohan data di AS

(Gambar: Kirill Kudryavtsev/AFP)

Diterbitkan : 07 Jun 2020 09:57PM Dikemas Kini : 07 Jun 2020 09:59PM

SINGAPURA: ST Engineering sedang melakukan "semakan menyeluruh " terhadap sistem-sistemnya setelah berlaku pencerobohan data di VT San Antonio Aerospace iaitu anak syarikatnya di Amerika Syarikat, menurut syarikat itu pada Ahad (7 Jun).

Pada Jumaat (5 Jun), ia dilaporkan bahawa data sulit sekitar 1.5 terabait dicuri.

Menurut firma keselamatan siber CYFIRMA, maklumat itu termasuk butiran kontrak bersama pemerintah negara-negara seperti Peru dan Argentina, pertubuhan berkaitan pemerintah seperti NASA serta syarikat penerbangan seperti American Airlines.

Dalam kenyataan media pada Ahad, ST Engineering mengesahkan kejadian itu sambil menyatakan sebuah kumpulan penjenayah siber canggih yang dikenali sebagai kumpulan Maze, mendapat akses tanpa kebenaran kepada rangkaian IT syarikat itu dan melakukan serangan siber menuntut wang tebusan atau 'ransomware'.

"Pada masa ini, siasatan yang dijalankan menunjukkan bahawa serangan itu berjaya dibendung dan ia dipercayai dihadkan kepada bahagian kecil operasi komersil ST Engineering di AS," menurut ST Engineering.

"Buat masa ini, perniagaan-perniagaan ini termasuk VT San Antonio Aerospace terus beroperasi. Rangkaian IT ST Engineering di Singapura dan perniagaannya yang lain pula tidak terjejas."

Menurut CYFIRMA, siasatan awal mendedahkan pencerobohan di VT San Antonio Aerospace berlaku "seawal bulan Mac".

ST Engineering menyatakan tindakan segera diambil sebaik sahaja mereka mendapat tahu akan pencerobohan itu. Ini termasuk memutuskan sambungan sistem-sistem tertentu daripada rangkaian, mendapatkan khidmat penasihat forensik pihak ketiga bagi membantu menyiasat insiden tersebut dan memaklumkan pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang akan kejadian yang berlaku.

"ST Engineering memandang serius keselamatan maklumat dan sebagai sebahagian daripada proses tersebut, ia sedang melakukan semakan menyeluruh kejadian itu dan sistem-sistemnya bagi memastikan data yang dipertanggungjawabkan kekal selamat," menurut syarikat itu lagi.

"ST Engineering juga sedang mengambil langkah untuk terus mengukuhkan keseluruhan seni bina keselamatan siber syarikat itu."

Syarikat itu juga menyatakan anak syarikatnya di Amerika Syarikat sudah mula memaklumkan para pelanggan yang berpotensi terjejas oleh pencerobohan itu dan ia komited sepenuhnya untuk memberikan respons kepada insiden itu secara "telus dan proaktif".

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan