Sriwana raikan ulang tahun ke-70 dengan sebuah persembahan gah
Badan seni tarian Melayu paling lama di Singapura, Sriwana bakal meraikan ulang tahunnya yang ke-70 tahun ini dengan persembahan penuh gah selama dua malam di Esplanade bermula esok (31 Jan).
Bertajuk 'Sriwana 70: Teras. Paksi. Titik', persembahan ini bakal membawa penonton menyusuri evolusi seni tarian Melayu di Singapura.

Sebagai badan seni Melayu yang paling lama bertahan, ia berdedikasi dalam memelihara dan memperjuangkan budaya serta tarian tradisional Melayu.
Usahanya sepanjang tujuh dekad ini bakal dipentaskan menerusi sebuah persembahan yang mengimbas semula dan diilhamkan daripada karya-karya ikonik dengan gabungan koreografi baharu yang inovatif.
"Kami menonjolkan ciri-ciri utama dalam persembahan tersebut iaitu kami menonjolkan semangat kami yang telah memperkuatkan azam persatuan untuk terus bergiat hingga ke hari ini dan juga kewajipan kami dalam mengekalkan tarian-tarian tradisional yang kami simpan selama tujuh dekad juga," kata Presiden dan Pengarah Artistik Sriwana, Cik Fauziah Hanom Yusof.

"Semoga persatuan Sriwana ini terus kekal dan mengekalkan kekentalan azam untuk terus berjuang demi kewujudan persatuan di samping melestarikan terus seni," tambahnya.
MANFAATKAN TEKNOLOGI, KERJASAMA UNTUK PUPUK MINAT GENERASI MUDA
Persembahan selama 1 jam 15 minit itu turut melibatkan seramai 56 penari dan pemain muzik berbilang generasi.
Selain tarian, Sriwana juga cuba melestarikan irama tradisional.

"Walaupun saya tidak lagi aktif dalam tarian, dengan menyaksikan Sriwana daripada kecil hingga sekarang, itulah minat saya menjadi seorang pemuzik dan mencari identiti saya sebagai seorang pejuang seni," kata Encik Nizarfauzi, yang juga anak kepada Cik Fauziah.
Selain memanfaatkan teknologi dan media sosial, beliau berharap Sriwana dapat memperkukuhkan kerjasama bagi memupuk generasi pelapis bagi merancakkan industri seni.
"Sriwana harus bekerjasama bersama institusi-institusi seni, sekolah-sekolah di Singapura untuk merapatkan lagi seni tradisional Melayu kepada khalayak ramai," tambahnya.
GABUNGAN DENGAN BADAN-BADAN SENI TEMPATAN DAN SERANTAU
Bagi menjayakan persembahan ini, Sriwana turut berkolaborasi dengan beberapa penggiat dan kumpulan seni termasuk alumni Pak Ngah Production dan Yayasan Warisan Johor, Zulfarqar Awaludin dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dari Malaysia dan Nadi Singapura.

"Dengan peluang dan kesempatan ini, anak-anak muda yang baru menceburi diberikan satu gudang ilmu dan pengalaman supaya mempersiapkan diri untuk teraju kesenian dan kebudayaan kita di masa akan datang.
"Ini adalah satu peluang yang saya rasa tidak boleh digantikan kerana Sriwana itu adalah satu kumpulan yang sangat-sangat penuh dengan sejarah yang kita boleh pelajari bersama," kata Encik Riduan.
Tiket-tiket bagi persembahan pada 31 Januari dan 1 Februari itu boleh didapatkan dari lelaman Esplanade.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.