Skip to main content

Singapura

Sri Warisan pimpinan Som Said terima Anugerah Warisan Budaya Tidak Ternilai S'pura

Kumpulan seni persembahan Melayu, Sri Warisan Som Said Performing Arts Ltd, menjadi salah satu daripada enam penerima sulung Anugerah Warisan Budaya Tidak Ternilai Singapura pada Khamis (4 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Sri Warisan pimpinan Som Said terima Anugerah Warisan Budaya Tidak Ternilai S'pura

Kumpulan seni diasaskan Cik Som Said menerima pengiktirafan baru. (Gambar: Som Said/Facebook, Sri Warisan Som Said Performing Arts Ltd)

Diterbitkan : 08 Jun 2020 08:00PM Dikemas Kini : 08 Jun 2020 08:53PM

SINGAPURA: Kumpulan seni persembahan Melayu, Sri Warisan Som Said Performing Arts Ltd, menjadi salah satu daripada enam penerima sulung Anugerah Warisan Budaya Tidak Ternilai Singapura pada Khamis (4 Jun).

Anugerah tersebut merupakan satu pengiktirafan oleh Lembaga Warisan Negara (NHB), khusus bagi para pejuang yang secara konsisten mempamerkan iltizam kuat untuk melestarikan budaya kita.

Skim pengiktirafan berkenaan baru sahaja diperkenalkan pada Oktober lalu, di bawah Pelan Warisan SG Kita - pelan induk bagi sektor warisan yang bermatlamat untuk memartabatkan dan melestarikan warisan budaya tidak ternilai Singapura.

Hanya mereka yang mempamerkan kecemerlangan selama lebih sedekad layak menerima pengiktirafan tersebut.

Related article image

(Gambar-gambar: Sri Warisan Som Said Performing Arts Ltd)

Sebagai penerima anugerah yang baru sahaja diperkenalkan oleh NHB ini, Sri Warisan antara lain menerima hadiah tunai S$5,000, peluang untuk mempromosikan program-programnya, serta memanfaatkan Geran Projek bernilai sehingga S$20,000.

SRI WARISAN BERTAHAN ATAS SEMANGAT ANAK-ANAK MUDA

Pengasas Sri Warisan, Cik Som Said, melahirkan rasa syukur dikurniakan pengiktirafan tinggi ini - yang menurutnya akan membakar lagi semangat para pejuang warisan budaya untuk terus menghidupkan kegiatan seni dan budaya di Singapura.

Kumpulan yang dipimpin oleh penerima Pingat Budaya itu sudah menjadi penggerak aktif dalam dunia seni Singapura selama 23 tahun lamanya.

Sepanjang tempoh tersebut, anak-anak didiknya dibawa merantau dan menyertai lebih 40 acara antarabangsa - di negara-negara Asia mahupun sejauh Amerika Syarikat, Belgium dan London.

Persembahan-persembahan Sri Warisan sering kali memukau orang ramai kerana kaya dengan pelbagai elemen seni budaya Melayu, digabung pula dengan teknik-teknik kontemporari.

Related article image

(Gambar: Som Said/Facebook)

Sri Warisan juga sudah menganjurkan program-program pengayaan seni di lebih 300 sekolah, menerusi Program Pendidikan Seni bersama Majlis Seni Kebangsaan (NAC).

"Alhamdulillah, dengan adanya semangat usaha sama anak-anak muda, yang tidak pernah rasa jemu, tidak pernah rasa jelak dan selalu susah senang bersama, maka kita terus bergerak maju. Semua ini demi menurunkan warisan dari satu generasi ke generasi lain," kata Cik Som Said, yang juga merupakan Pengarah Sri Warisan sekarang ini.

GERAN BUKAN SESUATU YANG DIKEJAR TETAPI MEMBANTU

Mengulas lebih lanjut tentang pengiktirafan NHB, Cik Som Said berkata beliau mengalu-alukan geran S$20,000 yang boleh dimanfaatkannya meskipun ia bukanlah sesuatu yang dikejarnya.

"Anugerah apa yang diberikan, kita bersyukur. Sepanjang masa ini, kita selalunya tidak pernah memikirkan, 'eh ada anugerah atau ada nilai tunai dan sebagainya. Itu sesungguhnya tidak menjadi keutamaan tetapi ia sangat membantu," kata beliau.

Related article image

Mentelah lagi, kos produksi syarikatnya boleh mencecah sehingga S$100,000, sekiranya ia diberikan begitu banyak sentuhan kreatif dan dipentaskan pada skala besar.

Geran bernilai sehingga S$20,000 di bawah anugerah NHB boleh digunakan untuk inisiatif-inisiatif seperti menganjurkan program-program pendidikan masyarakat, latihan amali, program latihan serta projek-projek dokumentasi mahupun pendidikan.

CARI CARA BERGERAK MAJU

Sebagaimana begitu ramai terjejas oleh COVID-19, Sri Warisan tidak terkecuali. Semua projeknya terpaksa dibatalkan - termasuk kerja-kerja kolaborasi.

Sejak April juga, program-program di sekolah dibatalkan demi menjaga keselamatan para pelajar.

Jadi dengan semua kegiatannya tertangguh, kumpulan seni ini terpaksa membuat pelbagai penyesuaian. Pengiktirafan oleh NHB pula tepat pada masanya bagi mereka.

"Anugerah ini menjadi 'impetus' (pendorong), macam memberi perangsang, semangat untuk kita berdiri. Dengan adanya geran, kita boleh memikirkan apa selanjutnya untuk kita sesuaikan," terang Cik Som Said.

Related article image

Latihan-latihan Sri Warisan semuanya kini diadakan menerusi Zoom - sesuatu yang tidak kalah mencabar.

"Semua perlu mendengar arahan kalau ingin latihan berjaya dijalankan. Lagi satu, dari pementasan, kita selalunya perlu tatap muka (penonton). Tapi sekarang tatap skrin. Lain," tambah Cik Som Said.

RANCANG ANJUR PRODUKSI MAYA GUNA GERAN

Buat masa ini, Sri Warisan mempunyai rancangan untuk membuat pementasan maya berdasarkan buku Cik Som Said yang bertajuk 'Malay Dance in Singapore'.

Related article image

Pementasan itu bertujuan untuk merungkai koreografi tarian Melayu Singapura oleh para perintis pada tahun-tahun antara 1950-an hingga 1970-an.

"Ideanya belum muktamad lagi. Anak-anak muda Sri Warisan akan tetap memikirkannya. Ini disebabkan keadaan yang saya rasakan dulu kita tidak pernah terfikir pun pasal COVID dan seterusnya," kata Cik Som Said.

"Tapi mereka ada memikirkan tentang 'virtual performance'. Persembahan maya yang dijadikan seperti galeri yang memaparkan sejarah tarian mahupun seni persembahan lain, termasuklah wayang kulit dan Bangsawan in Dance. Apa yang kita buat selama ini mungkin akan dirangkumi."  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita