SRC sumbang S$50,000 sokong usaha bantuan di Filipina susuli gempa
Palang Merah Singapura (SRC) akan menyumbangkan S$50,000 bagi menyokong usaha bantuan kecemasan di Filipina selepas gempa bumi berukuran 6.9 magnitud menggegarkan Cebu lewat Selasa malam (30 Sep).
Pemandangan dron menunjukkan pasukan penyelamat menjalankan operasi mencari dan menyelamat di sebuah bangunan yang runtuh berikutan gempa bumi berukuran 6.9 magnitud di Bogo, Cebu, Filipina, pda 1 Oktober 2025. (Gambar: REUTERS/Adrian Portugal)
Bantuan itu merangkumi keperluan perubatan mendesak, sanitasi air dan kebersihan, serta sokongan kesihatan mental dan psikososial yang disediakan Palang Merah Filipina.
Dalam satu kenyataan media pada Jumaat, SRC menambah bahawa ia juga sedang berbincang dengan rakan kerjasama di lapangan untuk mengagihkan penapis air yang sudah ditempatkan dengan lebih awal kepada masyarakat yang terjejas.
Setakat Khamis, angka korban mencecah 72 orang dengan lebih 300 lagi cedera.
Gempa bumi di Cebu itu adalah yang paling dahsyat di Filipina sejak sekurang-kurangnya 2013.
Menurut SRC, Palang Merah Filipina sudah bertindak pantas, dalam melaksanakan penilaian segera dan maklum balas kecemasan.
“Mereka juga telah menghantar bekalan darah ke Hospital Wilayah Cebu di Bogo, mengerahkan dua pasukan perkhidmatan perubatan kecemasan bagi menyokong hospital yang dibebani pesakit, serta trak makanan dan tangki air untuk menyediakan hidangan panas dan air bersih kepada masyarakat yang terjejas.”
Pasukan pemantauan bencana SRC juga sedang memantau rapat Taufan Matmo yang dijangka melanda Filipina pada Jumaat.
SRC menambah ia kekal berkoordinasi rapat dengan rakan kemanusiaan tempatan, termasuk rakan sejawatannya di Filipina, bagi “memastikan bantuan terus menangani keperluan paling mendesak dan kian berubah-ubah di lapangan.”
Filipina baru-baru ini dilanda dua taufan.
Taufan Bualoi meragut 37 nyawa dan memaksa 400,000 orang meninggalkan kediaman mereka di utara Filipina minggu lalu, manakala Taufan Ragasa meragut 14 nyawa pada akhir September.
“Keadaan di Filipina sangat genting; ribuan kehilangan orang tersayang, rumah dan mata pencarian,” kata Setiausaha Agung dan Ketua Eksekutif SRC, Encik Benjamin William.
“Mereka mungkin berdepan satu lagi bencana dengan ketibaan ribut tropika. Keadaan sangat dinamik, dengan keperluan di lapangan berubah setiap hari.”
Sumbangan organisasi itu bertujuan menyediakan bantuan segera, memastikan keperluan asas dipenuhi dengan segera dan memastikan “harapan terus hidup.”
“Kami berdiri teguh bersama dengan masyarakat nasional saudara kami dan masyarakat yang terkesan dalam masa yang mencabar ini,” kata Encik William.
Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong sebelum ini menulis surat kepada Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr pada Khamis untuk mengutuskan kawat takziah susulan gempa bumi itu.
“Bagi pihak pemerintah Singapura, saya mengutus kawat takziah yang mendalam kepada keluarga mangsa, dan berharap mereka yang cedera cepat sembuh.
“Ingatan kami bersama Filipina dan rakyatnya semasa masa-masa sukar ini,” kata Encik Wong.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.