SQ321 berdepan 'gelora udara ekstrem secara tiba-tiba' di Lembangan Irrawaddy pada 37,000 kaki: SIA

Gambar: Pembaca CNA
SINGAPURA: Penerbangan Singapore Airlines SQ321 sedang melalui Lembangan Irrawaddy (Irrawaddy Basin) pada ketinggian 37,000 kaki atau sekitar 11,280 meter apabila pesawat itu berdepan dengan "gelora udara yang ekstrem secara tiba-tiba".
Ia berlaku 10 jam selepas pesawat itu berangkat dari Lapangan Terbang Heathrow menuju Singapura.
Demikian menurut SIA dalam satu kemas kini pada 10.35 malam waktu Singapura.
Seorang lelaki rakyat Britain berusia 73 tahun maut dan tujuh individu lain yang juga berada dalam pesawat itu dilaporkan cedera parah.
Lapan belas orang dimasukkan ke hospital dan 12 yang lain sedang dirawat di hospital, kata SIA dalam kemas kini Facebooknya. Kesemuanya, terdapat seramai 211 penumpang dan 18 anak kapal di dalam pesawat Boeing 777-300ER itu.
Pesawat SQ321 itu mengalami keadaan gelora udara (turbulent) kuat ketika dalam penerbangan dari London menuju Singapura.
Juruterbang pesawat berkenaan kemudian mengisytiharkan kecemasan perubatan dan pesawat itu dilencongkan ke Bangkok, untuk melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Suvarnabhumi pada pukul 3.45 petang waktu tempatan.
Data penjejakan penerbangan menunjukkan bahawa pesawat itu menjunam 6,000 kaki (1,830 meter) dari ketinggian 37,000 kaki dalam masa empat minit.
Dalam kemasnya, SIA juga memberi maklumat mengenai kewarganegaraan penumpang dalam pesawat SQ321:
6 dari Australia, 2 dari Kanada, 1 dari Jerman, 3 dari India, 2 dari Indonesia, 1 dari Iceland, 4 dari Ireland, 1 dari Israel, 16 dari Malaysia, 2 dari Myanmar, 23 dari New Zealand, 5 dari Filipina, 41 dari Singapura, 1 dari Korea Selatan, 2 dari Sepanyol, 47 dari Britain, dan 4 dari Amerika Syarikat.
Seorang penumpang dalam pesawat itu, Encik Dzafran Azmir, 28 tahun, memberitahu agensi Reuters bahawa pesawat itu bergegar dan tiba-tiba mendongak. "Ia kemudian menjunam sehingga mereka yang duduk dan tidak memakai tali pinggang keledar tercampak ke bahagian atas pesawat," kata pelajar warga Malaysia itu.
Tambahnya: "Kru pesawat dan mereka yang berada di dalam tandas paling teruk cedera. Kami dapati mereka di lantai dan tidak mampu bangun. Ramai yang mengalami kecederaan tulang belakang serta kepala.”
Menurutnya, telefon bimbit beliau tercampak ketika itu.
Penganalisis berkata gelora udara yang teruk seperti yang dialami penerbangan SQ321 pada Selasa (21 Mei) "jarang sekali (berlaku)".
Mereka menambah bahawa keadaan sedemikian tidak selalunya menyebabkan korban jiwa atau jumlah kecederaan yang tinggi.
Penganalisis penerbangan bebas Alvin Lie berkata intensiti gelora udara, yang dihadapi penerbangan Singapore Airlines itu, berkemungkinan di tahap "ekstrem" - klasifikasi tertinggi oleh Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan bagi Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA).
Menurut agensi itu, gelora udara yang ekstrem menyebabkan sesebuah pesawat melambung dengan kuat dan boleh dikatakan mustahil untuk dikawal. Ia juga mungkin menyebabkan kerosakan struktur.
Encik Lie memberitahu rancangan Asia Tonight terbitan CNA, bahawa SQ321 berkemungkinan berdepan dengan gelora udara jelas (CAT).
"Biasanya, bagi gelora yang disebabkan oleh pergerakan awan, juruterbang akan dimaklumkan pada radar supaya mereka boleh mengelaknya atau memberitahu anak kapal dan penumpang untuk memakai tali pinggang keledar," katanya.
"Jadi, melihat pada jumlah kecederaan (berikutan insiden itu), saya percaya bahawa SQ321 berdepan dengan CAT, di mana pesawat boleh dilambung dengan kuat."
"Ketika kejadian berlaku, ia mungkin terjadi selepas waktu makan tengah hari. Saya menjangkakan ramai penumpang sedang beratur untuk menggunakan tandas. Di sinilah kecederaan boleh berlaku."
CAT boleh melanda di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja, jelasnya, sambil menekankan bahawa fenomena tersebut jarang sekali berlaku dengan teruk.
"Tidak ada cara untuk mengetahui bila atau di mana CAT boleh berlaku, atau keterukan ataupun intensitinya. Saya percaya terdapat banyak pesawat lain yang terbang di kawasan itu pada masa yang sama dengan SQ321 (tetapi tidak terjejas). Itu sekadar nasib malang."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.