Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura, Vietnam meterai MOU tingkatkan interaksi antara ahli parlimen

Anggaran Waktu Membaca:

HANOI: Singapura dan Vietnam memeterai memorandum persefahaman (MOU) untuk mendalami interaksi antara anggota parlimen kedua-dua negara, sekali gus membolehkan mereka  mengenal pasti lebih banyak bidang kerjasama. 

MOU itu dimeterai pada Khamis (19 Mei) oleh Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin dan rakan sejawatannya di Vietnam, Pengerusi Dewan Rakyat Vietnam, Encik Vuong Dinh Hue. 

Langkah itu akan "memperkukuh hubungan" antara kedua-dua negara, menurut Pejabat Setiausaha Dewan Parlimen dalam satu kenyataan pada Khamis (19 Mei). 

Bercakap kepada media di akhir lawatan rasminya ke Vietnam pada Jumaat (20 Mei), Encik Tan menarik perhatian bahawa interaksi antara anggota parlimen kedua-dua negara sudah wujud. 

Namun, MOU itu menyediakan "rangka kerja" untuk meningkatkan lagi hubungan ini dan menetapkan komitmen supaya interaksi sedemikian berlaku "dengan lebih meluas", katanya. 

"Dengan anggota parlimen memahami isu-isu semasa, saya rasa mereka juga boleh mengongsinya dengan penduduk masing-masing sama ada dalam industri atau sektor-sektor lain. Saya rasa mereka akan mencari peluang untuk melakukan sedemikian." 

HUBUNGAN DUA HALA "AMAT KUKUH"

Encik Tan memimpin satu rombongan Anggota Parliman dalam rangka lawatan tiga hari ke Vietnam. Mereka mengadakan pertemuan dengan pemimpin Vietnam, termasuk Presiden Xuan Phuc dan Perdana Menteri Pham Minh Chinh. Rombongan Singapura itu  juga bertemu dengan Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam, Encik Nguyen Phu Trong. 

Lawatan itu diadakan menjelang sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Singapura dengan Vietnam dan ulang tahun ke-10 kerjasama strategik antara kedua-dua negara. 

Encik Tan menarik perhatian bahawa hubungan yang terjalin antara Singapura-Vietnam "amat kukuh", tetapi ia "akan menjadi lebih kukuh dan baik lagi pada masa akan datang", dengan lebih banyak usaha kerjasama yang sedang dirancang. 

Dari segi ekonomi, Encik Tan berkata, Taman Perusahaan Vietnam-Singapura "sedang berjalan dengan lancar" dan pihak berkuasa sedang meneroka kemungkinan meluaskannya ke lebih banyak wilayah. 

Singapura juga merupakan sumber pelaburan asing utama Vietnam pada 2020 dan 2021, dengan pelaburan berjumlah sekitar AS$20 bilion (S$27.5 bilion).

Pada masa akan datang, Singapura juga berminat untuk meningkatkan kerjasama dengan Vietnam dalam bidang seperti transformasi digital dan ekonomi hijau, kata Encik Tan. Di peringkat penduduk pula, pelbagai inisiatif sedang dirancang, tambahnya lagi. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan