S'pura, Vietnam meterai 5 perjanjian, MOU meliputi sektor sosial, pertahanan & perdagangan
Singapura dan Vietnam menandatangani lima perjanjian serta memorandum persefahaman (MOU) pada Jumaat (25 Feb), bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang-bidang pertahanan, ekonomi digital dan hak milik intelektual.
(Gambar: MCI)
SINGAPURA: Singapura dan Vietnam menandatangani lima perjanjian serta memorandum persefahaman (MOU) pada Jumaat (25 Feb), bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang-bidang pertahanan, ekonomi digital dan hak milik intelektual.
Perjanjian yang dimeterai menteri dan pegawai kanan dari kedua-dua negara itu disaksikan oleh Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan Presiden Vietnam Nguyen Xuan Phuc.
Encik Phuc sedang dalam rangka lawatan tiga hari ke Singapura dari 24 hingga 26 Februari - menandakan lawatan negara pertama yang disambut Singapura sejak pandemik COVID-19 melanda pada awal 2020.
Perjanjian dua hala itu akan "mengukuhkan lagi kerjasama berbilang bidang antara Singapura dengan Vietnam", menurut Kementeria Ehwal Luar (MFA).
Perjanjian yang dimeterai itu akan memudahkan kerjasama perniagaan serta menyokong keterhubungan rantaian bekalan serantau dan sejagat.
Ia juga akan memperdalam kerjasama perdagangan pertanian dan bertujuan untuk meningkatkan kerjasama dalam sektor-sektor perindustrian serta tenaga.
Sekitar 100 pegawai pemerintah dan pemimpin perniagaan menyertai dialog yang dianjurkan oleh Persekutuan Perniagaan Singapura di Hotel Shangri-La.
Mereka membincangkan kerjasama dalam bidang-bidang baru seperti pendigitalan, prasarana dan kemampanan.
Selain itu, mereka turut menyentuh tentang kepentingan menyambung semula perjalanan bagi memudahkan peluang pelaburan dan perniagaan.
Perdagangan dua hala antara Singapura dengan Vietnam meningkat hampir 19 peratus tahun lalu berbanding setahun sebelumnya, iaitu sekitar S$27 bilion.
Singapura juga adalah pelabur terbesar di Vietnam pada tahun lalu, menyumbang pelaburan langsung asing berjumlah sehingga AS$10.7 bilion (S$14.4 bilion).
Singapura dan Vietnam juga boleh menjangkakan lebih bnayak kerjasama dalam bidang inovasi dan teknologi.
Kedua-dua pihak juga memeterai satu perjanjian untuk bekerjasama dalam bidang ekonomi digital.
Satu kumpulan kerja akan mula mengusahakan keterhubungan digital dua hala dan serantau yang dijangka menyokong pertumbuhan perniagaan serta pelaburan digital.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.