S'pura umumkan VTL baru dengan Hong Kong & negara-negara lain; perkemas langkah-langkah sempadan

Gambar: MHA
SINGAPURA: Singapura mengumumkan pelancaran Laluan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) bersama Hong Kong dan negara-negara lain hari ini (16 Feb).
Kuota VTL juga akan dinaikkan ke tahap maksimum secara berperingkat. Pihak berkuasa juga menyatakan bahawa ia sedang menyemak kategori-kategori negara dan daerah-daerah, sebagai sebahagian usaha memperkemaskan langkah-langkah sempadan.
Bercakap di sidang media pasukan bertindak berbilang kementerian, Menteri Pengangkutan S Iswaran berkata laluan VTL yang membenarkan perjalanan tanpa kuarantin bagi mereka yang sudah lengkap divaksin dilancarkan "sebagai laluan untuk mengukuhkan, menguji dan membina keyakinan agar dapat membuka semula sempadan dengan selamat".
"Kami sudah menunjukkan kemajuan stabil, namun, dihambat seketika akibat Omicron," katanya, sambil merujuk kepada bagaimana Singapura menangguhkan pelancaran sebilangan VTL lewat tahun lalu gara-gara lonjakan kes Omicron di luar negara.
Singapura juga mengehadkan sementara jumlah pelawat VTL yang memasuki Singapura.
"Oleh kerana sekarang ini kami mempunyai lebih pengetahuan tentang Omicron dan risiko-risiko kesihatan awam, ia penting untuk kami mengubah pendirian agar dapat menyambung pembukaan semula sempadan dengan selamat dan menuntut semula kedudukan Singapura sebagai hab perniagaan dan penerbangan sedunia," kata Encik Iswaran.
VTL YANG AKAN DILANCARKAN
Laluan baru bersama Hong Kong dan juga VTL bersama Qatar, Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) yang ditunda sebelum ini, akan dilancarkan, umum Kementerian Kesihatan (MOH).
Permohonan bagi Pas Penumpang Sudah Divaksin (VTP) bagi perjalanan dari keempat-empat negara dan rantau itu akan bermula pada 22 Februari pukul 10.00 pagi. Penerbangan VTL yang pertama dari tempat-tempat berkenaan akan berlepas pada 25 Februari.
"Kami akan melancarkan VTL secara berperingkat dengan lebih banyak destinasi lagi, sedang kami memudahkan perjalanan bagi mereka yang sudah lengkap divaksin," menurut MOH dalam satu kenyataan media.
Aturan pembukaan sehala bagi Hong Kong akan dihentikan, menurut Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dalam kenyataan media berasingan.
Permohonan Pas Perjalanan Udara (ATP) bagi pelawat jangka pendek untuk perjalanan dari Hong Kong ke Singapura akan berakhir pada 17 Februari pukul 11.59 malam dan mereka yang mempunyai sejarah perjalanan ke Hong Kong serta memegang ATP yang sah boleh memasuki Singapura sehingga pukul 11.59 malam pada 24 Februari.
"VTL (laut) akan memanfaatkan para pengguna aturan khas perjalanan Indonesia ke tempat-tempat penginapan tertentu di Bintan dan Batam dan memudahkan lawatan jangka pendek," menurut MOH.
Permohonan VTP akan bermula pada 22 Februari pukul 10.00 pagi dan perjalanan feri pertama akan berlangsung pada 25 Februari.
Singapura akan "memperluaskan VTL" bagi Thailand selain Bangkok untuk mengendalikan penerbangan dari semua bandar di Thailand, tambah CAAS.
Syarikat-syarikat penerbangan yang merancang mengendalikan penerbangan dari bandar-bandar lain di Thailand di bawah aturan VTL boleh menghantar perancangan mereka kepada CAAS untuk disemak.
VTL baru bagi Israel dan Filipina juga akan dilancarkan untuk membenarkan perjalanan dua hala bebas kuarantin. Para pelawat dari negara-negara tersebut boleh memasuki Singapura di bawah VTL mulai 4 Mac. Permohonan VTP akan bermula pada 1 Mac pukul 10.00 pagi.
KUOTA VTL DITAMBAH
Kuota bagi penerbangan VTL akan dinaikkan sepenuhnya serta-merta, manakala kuota VTL (Darat) antara Singapura dengan Malaysia akan dinaikkan ke tahap maksimum mulai 22 Februari. Tiket bas tambahan akan dijual mulai 16 Februari.
Kuota-kuota itu akan dinaikkan secara berperingkat, menurut MOH.
Pada Disember lalu, Singapura menggantung penjualan kesemua tiket VTL disebabkan lonjakan kes Omicron di banyak negara. Jualan tiket disambung pada 21 Januari, namun dengan kuota yang dikurangkan.
"Kami akan terus memantau keadaan COVID-19 sedunia dan membuat perubahan kepada langkah-langkah sempadan sejajar dengan rancangan kami untuk menjadi negara yang berdaya tahan COVID-19," menurut MOH lagi.
LANGKAH-LANGKAH SEMPADAN DIPERKEMASKAN
Sekarang ini, negara-negara disenaraikan mengikut empat kategori berdasarkan situasi dan profil risiko COVID-19, dengan langkah-langkah sempadan yang berbeza bagi setiap kategori.
Namun, di bawah semakan terbaru, kategori-kategori dua, tiga dan empat akan digabungkan sebagai satu kategori Perjalanan Am.
Langkah-langkah sempadan tanpa kuarantin akan terus dikenakan bagi para pelawat lengkap divaksin yang tiba melalui VTL dan dari negara-negara yang disenaraikan di bawah Kategori Satu, iaitu Macao, tanah besar China dan Taiwan.
Satu kategori baru Larangan akan diadakan. Ini termasuk negara-negara dengan "situasi COVID-19 yang memerlukan langkah-langkah yang lebih ketat lagi" sebaik saja tiba di Singapura. Setakat ini, tiada negara yang disenaraikan di bawah kategori itu.
Langkah-langkah bagi pelawat yang tiba mulai 21 Februari pukul 11.59 malam juga akan dipermudahkan.
Sejarah perjalanan akan dikurangkan daripada 14 hari kepada tujuh hari dan tempoh pengasingan diri bagi kesemua kategori akan ditetapkan pada tujuh hari.
Memandangkan pesakit-pesakit varian Omicron mengalami tempoh sakit yang lebih singkat, tempoh notis duduk di rumah juga dikurangkan, menurut MOH.
Rejim ujian yang dipertingkatkan untuk para pelawat VTL juga akan dihentikan. Para pelawat VTL dan Kategori Pertama tidak lagi perlu menjalani ujian PCR selepas tiba.
Sebaliknya, mereka harus mengambil ujian antigen pantas (ART) dipantau di sebuah pusat ujian dalam 24 jam mereka tiba di Singapura.
Rejim ujian selama tujuh hari, iaitu membuat ujian ART setiap hari selama enam hari selepas tiba, juga akan dihentikan.
Para pemegang pas jangka panjang yang sudah divaksin, kecuali pemegang permit kerja, tidak lagi perlu mendapatkan VTP ataupun sebarang kelulusan untuk memasuki Singapura. Namun, mereka harus mematuhi langkah-langkah kesihatan sempadan sejurus tiba, menurut MOH.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.