Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura uji Lianhua Qingwen untuk rawat COVID-19 ringan

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura uji Lianhua Qingwen untuk rawat COVID-19 ringan

(Gambar: Yiling Pharma/Facebook)

SINGAPURA: Singapura meluluskan ujian klinikal untuk mengkaji penggunaan ubat traditional Cina Lianhua Qingwen bagi merawat pesakit dewasa COVID-19 dengan gajala  ringan. 

Kajian yang diluluskan pada 18 Januari itu diusulkan oleh Institut Perubatan Chung Hwa Singapura. 

Demikian menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA) semasa menjawab pertanyaan Mediacorp pada Selasa (19 Apr). 

"Tujuan utama kajian itu adalah untuk menilai bagaimana pil Lian Hua Qing Wen Jiao Nang apabila diberikan sebagai tambahan kepada rawatan perubatan biasa yang sedia ada, mungkin memberi kesan pelengkap kepada tempoh pemulihan pesakit COVID-19 dengan gejala ringan yang lengkap divaksin, serta pulih di rumah," menurut HSA. 

"Tujuan sampingan adalah untuk menilai bagaimana ia mungkin mempunyai kesan lebih lanjut kepada masa yang diperlukan untuk mendapatkan keputusan negatif ujian ART." 

Dr Ong Sze Tat dari Ubi Family Clinic and Surgery dan Dr Zuraimi Mohamed Dahlan dari Banyan Clinic @ JW disenaraikan pada pendaftar ujian klinikal HSA, sebagai penyiasat utama kajian tersebut. 

Seramai 300 orang berusia 21 hingga 79 tahun akan terlibat dalam ujian tersebut, menurut laman web clinicaltrials.gov - iaitu pangkalan data antarabangsa tentang kajian-kajian klinikal yang dikendalikan Perpustakaan Nasional bagi Perubatan Amerika Syarikat (AS). 

Kajian itu bertujuan untuk "membantu penggubal dasar dalam menerapkan rawatan TCM yang dibukti berkesan bagi pesakit COVID-19 dengan gejala ringan yang menjalani pemulihan di rumah". Ini selain menetapkan garis panduan mengenai penggunaan TCM untuk rawatan pandemik, menurut laman web tersebut. 

Tambahnya para penyiasat menjangkakan rawatan TCM boleh mengurangkan tempoh pesakit mengalami lapan gejala utama COVID-19, termasuk demam, sakit tekak, lenguh badan, serta mengurangkan masa untuk mendapatkan keputusan negatif ART bagi kes koronavirus ringan dengan sehingga 1.5 kali ganda. 

Kajian yang dikawal dan dilakukan secara rambang itu dijangkakan selesai menjelang Disember. 

Lianhua Qingwen kini dijual di beberapa kedai runcit di Singapura. 

Pada November lalu, HSA menjawab dakwaan di media sosial dan kumpulan sembang bahawa Lianhua Qingwen boleh digunakan untuk mencegah atau merawat COVID-19. 

Ketika itu, agensi tersebut menyatakan meskipun ia meluluskan produk tersebut untuk merawat gejala demam selesema, berdasarkan penggunaan bahan-bahan produk tersebut, tiada bukti saintifik bahawa Lianhua Qingwen atau produk-produk herba lain boleh digunakan untuk mencegah atau merawat COVID-19. 

Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan AS belum meluluskan Lianhua Qingwen dengan menyatakan bahawa dakwaan berkaitan koronavirus tentang ubat tersebut "tidak bersandar pada bukti saintifik yang bertauliah dan boleh dipercayai".

Namun, China meluluskan penggunaan ubat tersebut yang pada awalnya dihasilkan untuk merawat SARS, sebagai rawatan untuk COVID-19 dan kotak-kotak ubat itu disediakan dalam pakej jagaan pemerintah yang diagihkan di Shanghai dan Hong Kong semasa lonjakan kes COVID-19 baru-baru ini. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan