Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura tuan rumah pertandingan hutan hijau antarabangsa pada 2023

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sekalipun kecil dan berpecah-pecah, hutan rimba Singapura mungkin kunci bagi mencari huraian baru untuk mempertingkatkan usaha perlindungan dan pemuliharaan hutan hujan serta biodiversiti dunia. 

Singapura dipilih sebagai tuan rumah bagi peringkat separuh akhir pertandingan antarabangsa XPRIZE Rainforest yang bertujuan untuk mengenal pasti teknologi yang boleh digunakan bagi memantau hutan hujan dan biodiversiti pada masa nyata. 

Peringkat separuh akhir itu akan berlangsung pada 2023. 

Ini diumumkan oleh pihak penganjur XPRIZE, sebuah badan bukan pemerintah (NGO) yang mengadakan pertandingan berskala besar untuk mendapatkan huraian bagi menangani cabaran sejagat, semasa Forum Biodiversiti Sedunia di Davos, Switzerland, pada lewat petang Selasa (28 Jun). 

Dalam satu kenyataan media, pihak penganjur menyatakan Singapura dipilih kerana usaha pemuliharaannya dan usahanya dalam memanfaatkan sains serta teknologi untuk menangani biodiversiti dalam landskap bandar. 

Ini termasuk membangunkan teknologi baru seperti alat perangkap video dan kamera untuk mengenal pasti dan memadankan populasi haiwan serta alat pengesan satelit bagi burung pantai yang berhijrah. 

Lembaga Taman Negara (NParks) juga menggunakan penderia akustik dan jejak DNA di persekitaran untuk meninjau flora dan fauna di Singapura. 

XPRIZE turut menyatakan "jarak dekat hutan hujan Singapura dengan sumber-sumber di bandar akan menjadi aset penting bagi pasukan-pasukan pada tahap ujian yang masih awal ini."

"Ia amat berbeza berbanding tapak ujian biasa di mana teknologi berautonomi seperti yang dibangunkan akan menjadi yang paling berguna, tetapi pasukan-pasukan yang berjaya di peringkat ujian separuh akhir akan melangkah ke tahap seterusnya untuk menguji teknologi masing-masing di sebuah lokasi terpencil, tanpa sumber-sumber berguna yang boleh diakses itu, semasa peringkat akhir pertandingan pada 2024," menurut pihak penganjur. 

Hutan hujan terbesar di dunia kini mengelilingi Sungai Amazon di Amerika Selatan dan Sungai Congo di Afrika. Habitat hutan hujan yang lebat juga boleh ditemui di pulau-pulau tropika Asia Tenggara dan sebahagian Australia.

Meskipun ia hanya membentuk enam peratus permukaan darat Bumi, hutan hujan memainkan peranan penting dengan menstabilkan iklim kerana ia menyerap karbon dioksida dan mengeluarkan oksigen. 

Bahkan, hutan hujan juga merupakan rumah bagi lebih separuh daripada spesies tumbuh-tumbuhan dan haiwan di dunia. 

Dalam ucapan video semasa acara tersebut, Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee berkata Singapura berbesar hati untuk menjadi tuan rumah bagi peringkat separuh akhir pertandingan itu. 

"Teknologi berautonomi yang mereka sedang bangunkan untuk penilaian pantas biodiversiti akan sangat membantu meningkatkan pemahaman menyeluruh kami mengenai ekosistem hutan hujan, baik di Singapura mahupun di merata dunia," ujar Encik Lee. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan