Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura tidak tolak kemungkinan kenakan semula sekatan COVID-19, kata Ong Ye Kung

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura tidak tolak kemungkinan kenakan semula sekatan COVID-19, kata Ong Ye Kung

(Gambar: Gaya Chandramohan/CNA)

SINGAPURA: Singapura tidak menolak kemungkinan mengenakan semula sesetengah sekatan COVID-19 tetapi ia akan cuba "sedaya upaya" untuk tidak mengganggu kehidupan biasa orang ramai, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Sabtu (15 Okt). 

Semasa memberikan kemas kini mengenai gelombang terkini jangkitan varian XBB COVID-19 di sidang media Kementerian Kesihatan (MOH) , Encik Ong berkata jumlah kes kian meningkat kebelakangan ini, didorong oleh varian baru Omicron itu serta kes jangkitan semula. 

MOH sedang memantau keadaan dengan teliti dan ia tidak menolak kemungkinan mengenakan semula langkah-langkah pengurusan selamat (SMM) seperti pemakaian pelitup. Encik Ong menarik perhatian bahawa Singapura sedang mengharungi satu lagi gelombang yang kian melandai tanpa langkah-langkah tersebut. 

"Kami tidak pernah mengisytiharkan bahawa COVID adalah penyakit endemik, seperti yang dilakukan di sesetengah negara. Kami tidak pernah mengisytiharkan bahawa ia bukan lagi ancaman kesihatan sosial, seperti dibuat di sesetengah negara. Kami lebih memilih untuk membiarkan tindakan dan kehidupan kami membuktikan keadaannya sendiri tanpa perlu penjelasan lanjut," kata Encik Ong. 

"Dan apa yang kami lakukan adalah dengan setiap gelombang yang berjaya kami harungi, kami melonggarkan langkah jarak selamat, langkah pengurusan selamat sehingga ke satu tahap di mana hampir kesemuanya sudah ditarik balik sekarang. 

Encik Ong berkata Singapura akan berusaha "sedaya upaya" untuk tidak kembali ke fasa semasa "tempoh pemutus rantaian jangkitan", "kewaspadaan dipertingkat" atau "apa-apa saja yang boleh mengganggu kehidupan biasa kita".

Encik Ong menggesa orang ramai supaya mengamalkan tanggungjawab peribadi dan mengambil langkah-langkah sewajarnya di tengah-tengah peningkatan jumlah kes sekarang ini. 

Ini termasuk melakukan ujian kendiri, mengasingkan diri dan memakai pelitup jika berasa tidak sihat atau tinggal bersama warga emas.

"Jika anda dijangkiti COVID-19, Protokol 1,2 dan 3 masih relevan," kata menteri itu. 

Satu lagi langkah berjaga-jaga yang diambil pihak hospital adalah untuk menghadkan jumlah pelawat, kata Encik Ong. Semasa sidang media pada pagi Sabtu (15 Okt), Encik Ong serta Pengarah Khidmat Perubatan Kenneth Mark berkata kapasiti hospital ditingkatkan dan ia seharusnya berupaya mengatasi gelombang semasa.

Encik Ong turut mengingatkan orang ramai agar mendapatkan suntikan vaksin jika mereka layak. Beliau berkata bahawa pada Jumaat (14 Okt), Singapura sudah mula memberikan suntikan vaksin bivalen dan sudah melengkapkan sekitar 4,200 vaksinasi. 

"Jika anda berusia lebih 50 tahun dan belum mendapatkan tiga dos pertama atau anda berusia atas 50 tahun dan suntikan vaksin terakhir anda adalah lebih lima bulan yang lalu, anda boleh mempertimbangkan untuk pergi ke mana-mana Pusat Ujian dan Vaksinasi Bersama (JTVC) untuk mendapatkan vaksin bivalen Moderna anda," ujarnya. 

"Saya sudah mendapatkan suntikan vaksin bivalen saya. Kali ini - hampir tiada kesan sampingan langsung." 

Semua itu merupakan langkah-langkah yang diambil Pemerintah sekarang dan sekiranya keadaan bertambah teruk, ia berkemungkinan akan melaksanakan lebih banyak langkah "dalam cara yang tidak mengganggu kehidupan kita". 

"Saya rasa yang paling jelas adalah normbor satu, mungkin kita harus memakai semula pelitup, misalnya di tempat tertutup saja atau di tempat tertutup dan juga di tempat terbuka, jika keadaan memerlukan," jelas Encik Ong. 

Satu lagi kemungkinan adalah menguatkuasakan semula Langkah-Langkah Pengurusan Selamat Berdasarkan Status Vaksinasi (VDS), tambahnya. 

Langkah-langkah sedemikian, seperti syarat perlu lengkap divaksin untuk duduk makan di pusat penjaja dan tempat-tempat makan lain, telahpun ditarik palik pada 10 Oktober. 

"Kami sedang memantau kadar varian XBB dengan teliti dan kesannya ke atas sistem jagaan kesihatan untuk mempertimbangkan sama ada sesetengah langkah berkenaan perlu diambil. Buat masa sekarang, tiada keputusan yang perlu dibuat," kata Encik Ong.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan