Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura tidak jangka kemelesetan ekonomi pada 2023; persekitaran global masih tidak menentu

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 04 Jul 2022 04:04PM Dikemas Kini : 05 Jul 2022 12:46AM
SINGAPURA: Singapura tidak menjangkakan ekonomi negara ini akan mengalami kemelesetan ataupun 'stagflasi' iaitu keadaan ekonomi yang tidak mengalami pertumbuhan dan disertai dengan kadar inflasi yang tinggi pada tahun depan, menurut Menteri Negara Perdagangan dan Perusahaan Alvin Tan di Parlimen pada Isnin (4 Jul) dan beliau turut memberi amaran bahawa terdapat cabaran-cabaran yang "ketara" di peringkat global.

Setakat tahun ini, kegiatan ekonomi tempatan kekal 'berdaya tahan' sekalipun kadar inflasi semakin meningkat, dedah beliau selanjutnya semasa menjawab pertanyaan para Anggota Parlimen (AP) mengenai ramalan ekonomi.

Buat masa ini, ekonomi Singapura diramal berkembang pada kadar yang lebih rendah antara 3 peratus hingga 5 peratus bagi 2022.
Melangkah ke tahun hadapan, para penggubal dasar "meramalkan pertumbuhan yang lebih sederhana" tetapi "tidak menjangkakan kemelesetan ataupun stagflasi" pada peringkat ini, kata Encik Tan.

Stagflasi adalah keadaan ekonomi yang tidak mengalami pertumbuhan dan disertai pula dengan kadar inflasi yang tinggi, dengan ekonomi negara mungkin menghadapi cabaran kembar dalam bentuk pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan pengangguran di tengah-tengah inflasi yang meningkat.

Sehubungan itu, Encik Tan menarik perhatian kepada risiko-risiko "ketara" yang kekal dalam ekonomi global seperti konflik Rusia-Ukraine yang semakin meruncing, gangguan lebih teruk pada bekalan global, dasar kewangan yang diperketatkan lebih pantas oleh ekonomi-ekonomi maju serta pandemik COVID-19.

Singapura, sebagai sebuah ekonomi kecil dan terbuka, tidak terlepas daripada perkembangan yang semakin mencabar dalam persekitaran luar negara, tambah beliau. Singapura khususnya, sudah mengalami peningkatan yang ketara pada harga makanan dan kos tenaga.


Data terkini menunjukkan bahawa inflasi secara keseluruhannya meningkat 5.6 peratus pada Mei, naik daripada 5.4 peratus pada April dan mencatatkan bacaan tertinggi sejak November 2011 semasa inflasi utama mencecah 5.7 peratus.
Inflasi teras, yang tidak termasuk pengangkutan privet dan kos penginapan, naik 3.3 peratus pada April berbanding 3.6 peratus pada Mei - paras kemuncak indeks berkenaan sejak Disember 2008 ketika inflasi teras mencecah 4.2 peratus.

Anggaran rasmi bagi inflasi sepanjang tahun 2022 kekal pada julat antara 4.5 hingga 5.5 peratus untuk inflasi utama, manakala inflasi teras dianggarkan mencecah antara 2.5 dengan 3.5 peratus.

"Walaupun inflasi meningkat, kegiatan ekonomi di Singapura kekal berdaya saing sejauh ini," kata Encik Tan sambil merujuk ekonomi Singapura tumbuh 3.7 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama setahun lalu.

Untuk sepanjang tahun ini, Encik Tan mengatakan bahawa pemulihan bagi perjalanan antarabangsa dan permintaan domestik di tengah-tengah pelonggaran sekatan pandemik akan akan membantu mengurangkan beberapa permintaan luar yang lebih lemah.

KENAIKAN KADAR FAEDAH

Beralih kepada isu kadar faedah global yang semakin meningkat, Encik Tan menarik perhatian kepada bank pusat banyak ekonomi yang sudah menaikkan kadar faedah sebagai salah satu cara untuk menangani inflasi yang kian meningkat.
Selain itu, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) akan terus berusaha untuk memikat para pelabur dan menjana pelaburan baru.

"Penciptaan pekerjaan yang kukuh dan pertumbuhan gaji adalah cara terbaik untuk menangani inflasi," kata Encik Tan.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan