Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura 'tidak boleh' tetapkan tindakan namun berharap AS, China dapat kekalkan komunikasi: DPM Wong

Komunikasi terbuka antara AS dengan China membolehkan "tolak ansur baru" diwujudkan antara kedua-dua kuasa besar itu.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura 'tidak boleh' tetapkan tindakan namun berharap AS, China dapat kekalkan komunikasi: DPM Wong

DPM Lawrence Wong di Sidang CEO Global Forbes 2022. (Gambar: Sidang CEO Global Forbes 2022)

SINGAPURA: Singapura "tidak berada dalam kedudukan" untuk menetapkan sebarang tindakan kepada Amerika Syarikat (AS) dan China tetapi ia berharap kedua-dua pihak dapat mengekalkan komunikasi yang terbuka, terutama sekali di peringkat tertinggi, kata Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong pada Isnin (26 Sep).

Dengan berbuat demikian, dapat diwujudkan "tolak ansur baru" antara kedua-dua kuasa besar itu, kata beliau pada sesi dialog yang diadakan sebagai sebahagian daripada Sidang CEO Global Forbes 2022.

Ketegangan antara kuasa besar itu menimbulkan cabaran bagi kedua-dua negara dan perniagaan, memandangkan jalinan antara AS dengan China adalah "hubungan paling penting di dunia".

Namun hubungan AS-China menjadi kian buruk hari demi hari, disebabkan perbezaan dari segi ideologi, sistem pemerintahan dan baru-baru ini ketegangan berhubung Taiwan, kata Encik Wong.

"Mujur, saya rasa bagi kedua-dua pihak, pucuk kepimpinan tidak mahukan sebarang konfrontasi langsung sama sekali kerana mereka tahu banyak yang dipertaruhkan dan hanya menyebabkan kerugian," tambah Encik Wong.

"Tetapi kami bimbang mungkin akan berlaku kesilapan dan salah pertimbangan yang boleh menyebabkan keadaan menjadi bertambah buruk dengan cepat."

Singapura adalah rakan kepada kedua-dua AS dan China, kata Encik Wong, sambil menambah: "Kami tidak berada dalam kedudukan sama sekali untuk menetapkan sebarang tindakan ke atas mana-mana pihak tetapi kami menggalakkan kedua-dua pihak supaya mengekalkan komunikasi yang terbuka, terutama sekali dan termasuk di peringkat paling tinggi."

"Bagus juga para pemimpin kedua-dua pihak mengadakan mesyuarat maya baru-baru ini dan mereka turut bersetuju untuk bertemu secara bersemuka dalam masa agak terdekat.

"Dengan keupayaan untuk bertemu secara bersemuka, akan ada keupayaan untuk mewujudkan tolak ansur baru antara kedua-dua negara sambil mengiktiraf bahawa dunia ini cukup besar bagi China dan AS untuk saling wujud, dan kedua-dua mereka tidak semestinya perlu saling bertentangan dalam hubungan mereka," kata Encik Wong.

Meskipun terdapat persaingan "sangat sengit" dalam beberapa bidang, kedua-dua negara juga berkongsi kepentingan bersama, terutama sekali dalam isu-isu berhubung perubahan iklim dan respons pandemik yang memerlukan kedua-dua kuasa besar itu untuk bergabung bagi mewujudkan kemajuan, jelas beliau.

Menurut Encik Wong, kebimbangan yang lebih besar adalah apa yang akan dilakukan oleh generasi akan datang.

Beliau menjelaskan generasi akan datang di Amerika dan China, membesar dalam suasana amat berbeza.

Sekiranya tiada upaya untuk rakyat kedua-dua negara itu menjalin hubungan, amat mudah untuk timbul pandangan serong dan syak-wasangka terhadap satu sama lain.

SINGAPURA SEBAGAI HAB KEWANGAN

Ketika ditanya tentang harapan beliau bagi Singapura sebagai hab kewangan global, Encik Wong menarik perhatian bagaimana pelan perubahan industri dilancarkan bagi sektor khidmat kewangan sekitar lima tahun ini.

Sasaran tahunan di bawah pelan itu adalah untuk mencapai pertumbuhan tambah nilai sebenar purata sebanyak 4.3 peratus dalam sektor kewangan, sambil menjana 3,000 pekerjaan antara 2016 hingga 2020. Namun pelan itu sudahpun melepasi sasarannya dalam kedua-dua bidang - sektor itu berkembang sebanyak purata 5.7 peratus setahun sejak lima tahun lalu, di samping mewujudkan purata 4,100 pekerjaan setahun.

Selain itu, terdapat "semangat yang kian berkembang" bagi pelbagai segmen industri itu, tidak kira dalam pasaran modal, institusi kewangan dan juga ruang teknologi kewangan (fintech) yang semakin berkembang.

Namun Singapura tidak memandang ringan perkara itu, kata Encik Wong.

Disebabkan itulah, Singapura mengumumkan kemas kini kepada pelan perubahan industri baru-baru ini.

Singapura, katanya, terus menetapkan sasaran-sasaran baru bagi meningkatkan lagi keupayaan dalam bidang-bidang yang berkembang seperti pendigitalan dan kemampanan.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan