Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura tidak boleh bergantung kepada hasil cukai untuk biayai keperluan perbelanjaan, kata DPM Wong

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura tidak boleh bergantung kepada hasil cukai untuk biayai keperluan perbelanjaan, kata DPM Wong

Gambar: Mediacorp

Diterbitkan : 12 Sep 2022 10:03PM Dikemas Kini : 13 Sep 2022 12:28AM
SINGAPURA: Singapura tidak boleh bergantung kepada usaha yang didorong oleh sentimen seperti cukai setem sebagai sumber pendapatan yang stabil dan mampan untuk memenuhi keperluan perbelanjaan berulang yang meningkat, kata Menteri Kewangan Lawrence Wong pada Isnin (12 Sep).

Semasa berucap di Parlimen, Encik Wong yang juga adalah Timbalan Perdana Menteri, turut menarik perhatian bahawa pendapatan sedemikian boleh turun naik dari tahun ke tahun.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan para Anggota Parlimen (AP) mengenai sama ada peningkatan pada hasil cukai yang dikutip pada Tahun Kewangan 2021/22 boleh membantu untuk menangguhkan kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 2023 dan 2024.

GST dijangka akan dinaikkan dari 7 peratus kepada 8 peratus pada 2023. Ia akan dinaikkan lagi kepada 9 peratus pada 2024.

Hasil cukai sebanyak S$60.7 bilion dikutip pada Tahun Kewangan 2021/2022, melonjak 22.4 peratus berbanding tahun sebelumnya sedang ekonomi bangkit semula menyusuli pelonggaran sekatan-sekatan COVID-19.
Peningkatan itu berlaku di balik asas perbandingan yang lebih rendah pada tahun sebelumnya yang disebabkan oleh pandemik, dengan pendapatan cukai merosot sebanyak 7.3 peratus, menurut Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) dalam kenyataan medianya pada bulan lalu.

Selain itu, peningkatan itu juga dipacu oleh kutipan lebih tinggi daripada jangkaan bagi pendapatan 'berdasarkan sentimen', kata Encik Wong. Beliau turut merujuk kepada kutipan cukai setem yang menyumbang bahagian terbesar daripada peningkatan pendapatan cukai pada Tahun Kewangan 2021/2022.

"Pasaran hartanah pulih pada rentak yang lebih pantas daripada yang dijangkakan oleh ramai pemerhati pasaran. Tetapi sama seperti pasaran hartanah yang boleh membawa peningkatan, terdapat juga kelemahan dalam pasaran yang hambar seperti yang pernah ditunjukkan oleh pengalaman lalu," kata Encik Wong.

"Kami menggunakan hasil cukai yang lebih tinggi pada Tahun Kewangan 2021 untuk menyokong keperluan perbelanjaan baru termasuk penambahbaikan pada skim Kredit Gaji Progresif (PWCS) di samping meringankan beban para peniaga dan keluarga-keluarga tempatan.

"Ini termasuk pakej bantuan COVID-19 semasa tempoh sekatan yang dipertingkatkan pada tahun lalu dan langkah-langkah untuk membantu warga Singapura menampung kos sara hidup tahun ini."

PERBELANJAAN JAGAAN KESIHATAN YANG LEBIH TINGGI

Encik Wong juga menjawab pertanyaan mengenai sama ada kenaikan GST boleh ditangguhkan di tengah-tengah inflasi yang semakin meningkat.

"Pemerintah juga memahami keprihatinan rakyat Singapura terhadap inflasi. Sepanjang sepuluh tahun yang lalu, pekerja Singapura mengalami pertumbuhan gaji sebenar dan gaji sudah melepasi inflasi," kata beliau.

"Kami belum lagi mempunyai perangkaan pertumbuhan gaji sebenar bagi 2022 kerana data itu hanya tersedia pada hujung tahun ini. Sungguhpun demikian, kami tahu inflasi sudah meningkat tahun ini dan itulah sebabnya pemerintah akan terus memberikan sokongan kepada rakyat Singapura untuk mengimbangi kesan kenaikan harga."
"Sekalipun kita berdepan dengan tekanan kos, kita juga bekerjasama dengan para majikan dan kesatuan pekerja untuk membantu firma-firma dan kakitangan mereka untuk menjadi lebih berdaya saing. Penting untuk mengekalkan pertumbuhan gaji sebenar dari semasa ke semasa" tambah beliau.

"Kami juga akan terus meningkatkan gaji pekerja berpendapatan rendah dengan memperluaskan Model Gaji Progresif kepada lebih banyak sektor di samping mempertingkatkan kemahiran dan daya penghasilan para pekerja.
Encik Wong turut menarik perhatian kepada keperluan perbelanjaan Singapura yang semakin meningkat dengan sebahagian besarnya didorong oleh perbelanjaan jagaan kesihatan yang lebih tinggi disebabkan oleh penduduk Singapura yang semakin menua.

Negara ini juga harus mempercepatkan transformasi ekonomi dan hijau di samping mempertingkatkan daya bingkas keperluan penting seperti makanan dan tenaga di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global, tambah beliau.

"Kami menjangkakan perbelanjaan pemerintah yang kini mencecah 18 peratus Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) akan meningkat kepada 20 peratus atau lebih daripada GDP menjelang 2030. Inilah sebabnya mengapa saya memperkenalkan langkah-langkah tertentu dalam Belanjawan 2022. Ini akan memberikan kita sumber yang diperlukan untuk memenuhi keutamaan jangka panjang kita dengan cara yang bertanggungjawab," kata beliau.

"Kami akan meneruskan langkah-langkah ini termasuk menaikkan kadar GST seperti yang dirancangkan, tetapi seperti yang saya telah memberi jaminan kepada para AP sebelum ini, kami akan memastikan sebahagian besar isi keluarga rakyat Singapura tidak akan merasakan kesan kenaikan GST sekurang-kurangnya selama lima tahun manakala keluarga berpendapatan rendah pula tidak akan merasakan kesannya selama lebih kurang 10 tahun".
Pemerintah akan mengekalkan komitmen ini sekalipun inflasi diramal lebih tinggi dan akan mempertingkatkan Pakej Jaminan jika perlu, tambah Encik Wong.

"Pengurusan kewangan yang berhemat adalah antara kekuatan Singapura. Ia membolehkan kita untuk bangkit lebih kukuh daripada COVID-19 dan membolehkan kita untuk memenuhi aspirasi kita bersama dan merebut setiap peluang pada masa akan datang," kata beliau.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan