Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura 'terbuka kepada idea' larang rokok secara kohort, kaji cara New Zealand laksanakannya

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Singapura terbuka kepada idea larangan merokok secara kohort, menurut Menteri Negara Kanan bagi Kesihatan Koh Poh Koon di Parlimen hari ini (11 Jan).

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan yang diajukan beberapa Anggota Parlimen berkaitan merokok, termasuk sama ada Singapura akan mengkaji dan memperkenalkan larangan sedemikian, menyusuli perancangan pemerintah New Zealand untuk melaksanakannya.

Di bawah perancangan pemerintah New Zealand, individu berumur 14 tahun dan ke bawah pada 2027 tidak akan dibenarkan membeli rokok di negara tersebut.

Pemerintah New Zealand akan berunding dengan sebuah pasukan bertindak kesihatan sebelum memperkenalkan undang-undang itu pada Jun, dengan matlamat meluluskannya menjelang hujung tahun ini. Sekatan itu kemudian akan dikuatkuasakan secara berperingkat mulai 2024.

Dr Koh berkata: "Ia merupakan cadangan yang menarik, kerana ia mencegah orang muda daripada mula merokok dan pada masa yang sama, tidak meletakkan terlalu banyak sekatan terhadap perokok yang lebih tua. Kemudian, tentu sekali, tahun demi tahun berlalu, lebih banyak kohort akan bebas rokok."

Meski Kementerian Kesihatan (MOH) terbuka untuk mengkaji dasar seperti itu, Dr Koh menarik perhatian bahawa Pemerintah perlu mempertimbangkan beberapa perkara.

CABARAN DALAM MELAKSANAKAN LARANGAN MENGIKUT KOHORT

Tidak seperti anak-anak muda di negara-negara lain, orang muda di Singapura secara amnya tidak memulakan tabiat merokok, menurut Dr Koh.

"Belia kita pada masa ini tidak lagi memandang tabiat merokok sebagai sesuatu yang glamor dan tahu tentang mudaratnya," kata beliau.

Dr Koh menambah bahawa cabaran lebih besar dalam kalangan orang muda, yang dihadapi Singapura, ialah rokok elektronik yang masih merupakan produk tembakau dan berbahaya kepada para pengguna. Walaupun dilarang, peralatan yang diharamkan itu tetap boleh diperolehi di sini, tambah beliau.

"Kita perlu mempergiatkan lagi usaha untuk menguat kuasa larangan yang sedia ada untuk melawan populariti dan penggunaan yang meningkat.

"Jika menghisap vape menjadi kebiasaan dalam kalangan generasi muda, ia mengundurkan kemajuan yang sudah dicapai untuk mengekang tabiat merokok dan memerlukan usaha yang sangat besar bertahun-tahun lamanya untuk mengekang penggunaannya," katanya lagi.

Dr Koh turut menambah bahawa meskipun New Zealand mengumumkan larangan merokok secara kohort, ia memasarkan vape sebagai alternatif kepada merokok. Pada masa hadapan, tabiat merokok mungkin akan beralih pula kepada menghisap vape dan ini tetap memudaratkan, katanya.

Satu lagi cabaran yang timbul dengan larangan secara kohort adalah penguatkuasaan, ujar Dr Koh.

"Untuk memastikan larangan seperti itu berkesan, kita perlu memperkenalkan undang-undang untuk menghukum individu-individu lebih tua yang tidak tertakluk kepada larangan tersebut, tetapi untuk kesalahan bersubahat seperti membekalkan produk tembakau kepada kohort yang terjejas," katanya.

Satu usulan yang serupa pernah dibentangkan di Parlimen pada 2016 ketika beberapa pindaan kepada Akta Tembakau (Kawalan Iklan dan Penjualan) diperkenalkan dan MOH pada masa itu menerangkan cabaran berhubungan pelaksanaan dan penguatkuasaan, jelas Dr Koh.

"Walau bagaimanapun, kami tetap terbuka kepada idea tersebut. Larangan (yang diumumkan) New Zealand merupakan kali pertama sesebuah negara akan melaksanakan larangan sedemikian pada tahap nasional," tambahnya lagi.

"Kami akan kaji bagaimana New Zealand melaksanakan larangan itu, keberkesanannya serta bagaimana pengalaman mereka boleh disesuaikan untuk Singapura."

CUKAI TEMBAKAU PALING BERKESAN

Menjawab pertanyaan anggota parlimen tentang langkah-langkah untuk mengurangkan kadar merokok di Singapura, Dr Koh berkata langkah paling berkesan sejauh ini ialah cukai tembakau.

"Banyak kajian ekonomi sudahpun mencapai kata sepakat bahawa setiap kenaikan 10 peratus kepada harga, akan membawa kepada pengurangan sekitar tiga hingga lima peratus dalam penggunaan tembakau secara keseluruhan, penurunan 3.5 peratus pada kadar orang muda yang mula merokok dan juga pengurangan sekitar tiga hingga lima peratus pada kadar anak muda yang baru mula merokok," jelas Dr Koh.

Kali terakhir cukai tembakau dinaikkan adalah pada 2018.

"Dengan inflasi dan kenaikan gaji, beban cukai berkurangan mengikut peredaran masa dan kami akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kewangan untuk mengkaji semula kadar cukai tembakau," kata Dr Koh.

Pada 2020, pembungkusan yang diselaraskan dan amaran kesihatan bergambar diperlukan pada semua produk tembakau yang dijual di Singapura bagi mengurangkan daya tarikan rokok. Masih terlalu awal untuk menilai keberkesanan langkah tersebut, kata beliau.

Pihak berkuasa juga menaikkan usia minimum yang dibenarkan merokok, secara bertahap-tahap dari 19 tahun pada 2019 ke 21 tahun pada Januari tahun lalu.

Ia menyumbang kepada kemerosotan jumlah perokok dalam kalangan belia berusia 18 hingga 29 tahun, dari 9.8 peratus pada 2017 ke 8.8 peratus pada 2020, tambahnya lagi.

Secara keseluruhannya, langkah-langkah kawalan tembakau didapati berkesan, kata Dr Koh. Kadar kelaziman merokok jatuh daripada 11.8 peratus pada 2017, kepada 10.1 peratus pada 2020.

Merokok dan pendedahan kepada asap rokok berhubung kait dengan sekurang-kurangnya 11 masalah utama perubatan, yang menelan kos sebanyak S$180 juta pada 2019, tambah Dr Koh.

Beliau turut berkongsi bahawa MOH dan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) akan merintis satu program baru berhenti merokok, di mana individu yang layak akan ditawarkan terapi pengganti nikotin yang bersubsidi, yang digandingkan dengan kaunseling di institusi-institusi kesihatan awam.

MOH akan terus mempertingkat pendekatannya mengawal tembakau menerusi pendidikan awam, penyediaan khidmat berhenti merokok, perundangan dan cukai, kata Dr Koh.

"Kami juga akan mengkaji langkah-langkah baru untuk terus mengurangkan akses kepada produk tembakau dan menangani isu vape, terutama sekali dalam kalangan anak-anak muda kita," ujar beliau.

Sumber : CNA/IH/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan