Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura tekankan pendekatan tiada tolak ansur terhadap dadah kepada badan penggubal dasar PBB

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 19 Mar 2022 05:27PM Dikemas Kini : 19 Mar 2022 08:39PM

SINGAPURA: Strategi holistik dan menyeluruh Singapura terhadap dadah berjaya mengawal gejala tersebut di negara ini, menurut Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri Josephine Teo. 

Semasa menyampaikan kenyataan negara Singapura di sidang ke-65 Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah Narkotik (CND), Cik Teo turut menyentuh tentang pendekatan Singapura yang tidak akan bertolak ansur terhadap dadah. 

Semasa menyampaikan kenyataan tersebut, Cik Teo juga meminta sokongan bagi mengukuhkan permohonan Singapura untuk disenaraikan sebagai anggota CND bagi penggal dari 2024 hingga 2027, sekali gus menegaskan lagi komitmen negara ini terhadap konvensyen kawalan dadah antarabangsa. 

Kenyataan Cik Teo itu dikeluarkan oleh Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Sabtu (19 Mac). 

Cik Teo yang juga adalah Menteri Perhubungan dan Penerangan turut mendedahkan bahawa strategi Singapura membuahkan hasil dan beliau menukil statistik berikut: 

- 80 peratus rakyat muda Singapura sedia maklum tentang kemudaratan dadah dan menyokong pendirian tegas negara 

- Jumlah penyalah guna dadah yang diberkas setiap tahun merosot sebanyak 50 peratus dari lebih 6,000 pada tahun 1990-an kepada sekitar 3,000 hari ini

- Kadar terjebak semula dengan dadah dalam kalangan penyalah guna dadah yang dibebaskan daripada pusat-pusat pemulihan dadah merosot dengan ketara, dari 67.4 peratus pada 1996 kepada 24.5 peratus pada 2019.

Buat masa ini, Singapura adalah sebahagian daripada Kumpulan Asia dan Pasifik (APG) di PBB dan sedang memohon keanggotaan CND buat julung-julung kalinya.

Terdapat tujuh kerusi APG bagi penggal dari 2024 sehingga 2027. Enam lagi negara - India, Indonesia, Qatar, China, Jepun dan Thailand - juga sudah mengumumkan permohonan untuk menjadi anggota CND.

Pengundian untuk menganggotai suruhanjaya itu akan diadakan pada April atau Mei 2023. 

CND, yang mempunyai seramai 53 anggota, bertanggungjawab menyemak dan menganalisa keadaan dadah sejagat, di samping mempertimbangkan pengurangan bekalan dan permintaannya.

Badan PBB itu juga mempunyai mandat untuk memutuskan skop kawalan bahan-bahan terlarang di bawah tiga konvensyen dadah antarabangsa dan bertindak melalui ketetapan dan keputusan.

Dalam ucapan videonya, Cik Teo turut menarik perhatian kepada peranan Singapura dalam menyokong kerja-kerja CND melalui "sumbangan aktif" kepada perbincangan dasar dadah global dan juga bantuan teknikal yang dihulurkan kepada negara-negara lain untuk membanteras penyeludupan dadah. 

"Kami komited untuk menyumbang lebih banyak lagi ke arah usaha menggubal dasar-dasar mengawal dadah yang berkesan dan bersandarkan bukti di peringkat global," menurut Cik Teo. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan