Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura tarik pelaburan S$11.8 bilion pada 2021

Singapura menarik pelaburan bernilai S$11.8 bilion dalam aset tetap pada 2021. Komitmen itu dijangka mewujudkan lebih 17,000 pekerjaan sepanjang lima tahun akan datang, menurut Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) pada Rabu (26 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
02:02 Min
Singapura menarik pelaburan bernilai S$11.8 bilion dalam aset tetap pada 2021.
Diterbitkan : 26 Jan 2022 05:22PM Dikemas Kini : 26 Jan 2022 08:54PM

SINGAPURA: Singapura menarik pelaburan bernilai S$11.8 bilion dalam aset tetap pada 2021. Komitmen itu dijangka mewujudkan lebih 17,000 pekerjaan sepanjang lima tahun akan datang, menurut Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) pada Rabu (26 Jan).

Jumlah itu kurang daripada S$17.2 bilion yang diperolehi pada 2020, yang mana EDB menyifatkannya sebagai satu "prestasi luar biasa" yang tidak dijangka akan berulang pada 2021.

Jumlah yang diperolehi pada tahun lalu itu adalah sejajar dengan sasaran EDB untuk menarik S$8 bilion hingga S$10 bilion setiap tahun sepanjang tempoh jangka sederhana hingga jangka panjang.

Dalam laporan semakan tahunan yang dikeluarkan pada Rabu, EDB menyatakan pelancaran program vaksinasi yang berjaya dan pembukaan semula sempadan untuk pelancongan pada separuh kedua tahun lalu memberi keyakinan kepada syarikat-syarikat untuk melabur dan mengembangkanperniagaan di sini.

"Komitmen pelaburan yang kukuh pada 2021 adalah bukti reputasi Singapura sebagai sebuah hab strategik dan rantaian bekalan kritikal bagi syarikat menjalankan perniagaan di Asia dan seluruh dunia," kata Pengerusi EDB Beh Swan Gin.

"Sedang ekonomi-ekonomi dibuka semula dan ketersambungan dipulihkan, reputasi kami sebagai hab yang boleh dipercayai dan neutral, ekosistem teknologi dan inovasi yang pelbagai serta bakat mahir yang bertambah akan meletakkan kita di kedudukan yang baik untuk memperolehi lebih banyak peluang ekonomi bagi Singapura," kata Dr Beh.

PELABURAN KUKUH DIPACU FIRMA ELEKTRONIK, BIOPERUBATAN

Pengeluaran bioperubatan dan elektronik merupakan dua sumber utama pelaburan pada tahun lalu, dengan masing-masing memperolehi pelaburan sebanyak hampir S$5 bilion dan S$1.8 bilion.

Ia membentuk lebih separuh komitmen pelaburan pada tahun lalu.

Terdapat juga pelaburan baru bagi sektor seperti agri-makanan, kimia dan bahan, serta elektronik.

Mengikut rantau, setakat 2020, sebahagian besar komitmen pelaburan pada 2021 datang dari Amerika Syarikat (67.1 peratus) dan Eropah (13.1 peratus).

Apabila projek-projek baru yang diikrarkan pada 2021 dilaksanakan sepenuhnya, EDB menjangkakan 17,376 pekerjaan baru akan dihasilkan sepanjang lima tahun akan datang, sekali gus menyumbang nilai tambahan sebanyak S$16.8 bilion setiap tahun.

Sekitar 35 peratus pekerjaan itu adalah dalam sektor perkilangan yang termasuk pekerjaan dalam industri pengeluaran, kejuruteraan, rantaian bekalan dan logistik.

Ini diikuti dengan pekerjaan dalam khidmat komersil dan perniagaan yang akan membentuk lagi 32 peratus.

Bercakap di satu sidang media, pengarah urusan EDB Jacqueline Poh berkata 70 peratus pekerjaan baru itu merupakan pekerjaan bagi kalangan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET).

Menurutnya lagi, sebahagian besar pekerjaan itu dijangka diperuntukkan bagi warga tempatan.

"Pekerjaan-pekerjaan yang kami hasilkan tentu sekali, bernilai tinggi, dan pada sisi yang lain, juga menawarkan pelbagai jawatan yang mudah diakses oleh sesiapa sahaja," katanya.

Sumber : CNA/HA/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan