Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura tarik balik tepung susu Abbott Alimentum; disyaki kandungi Salmonella dan bakteria lain

Syarikat Abbott Laboratories diarahkan untuk menarik balik kelompok tertentu salah satu tepung susu bayi kerana ia berkemungkinan mengandungi bakteria, menurut Agensi Makanan Singapura (SFA) pada Sabtu (19 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura tarik balik tepung susu Abbott Alimentum; disyaki kandungi Salmonella dan bakteria lain

Tin tepung susu formula bayi, Abbott Alimentum.

SINGAPURA: Syarikat Abbott Laboratories diarahkan untuk menarik balik kelompok tertentu salah satu tepung susu bayi kerana ia berkemungkinan mengandungi bakteria, menurut Agensi Makanan Singapura (SFA) pada Sabtu (19 Feb).

Dalam kenyataan medianya, SFA menyatakan syarikat itu diberitahu supaya menarik balik "kelompok-kelompok terjejas" tepung susu Abbott Alimentum kerana dipercayai berkemungkinan dicemari bakteria Cronobacter sakazakii dan Salmonella Newport, kedua-duanya bakteria patogen.

"Jangkitan Cronobacter sakazakii biasanya jarang berlaku dan boleh menyebabkan meningitis atau sepsis," menurut agensi itu.

Bakteria itu boleh hidup dalam persekitaran kering, misalnya dalam makanan kering seperti tepung susu formula bayi, terangnya.

Simptom-simptom yang boleh dialami bayi yang terjangkit termasuk demam, hilang selera makan atau kelesuan, tambah SFA.

Sementara itu, Salmonella Newport pula boleh mengakibatkan penyakit gastrousus dan mereka yang dijangkiti mungkin mengalami demam, kekejangan perut serta cirit-birit, menurut SFA.

"Ibu bapa atau pengasuh yang prihatin harus berhenti menggunakan produk itu," tambahnya.

"Mereka harus mendapatkan bantuan perubatan sekiranya bayi mereka berasa tidak sihat selepas mengambil produk terjejas itu," nasihat SFA sambil menarik perhatian bahawa pengguna boleh menghubungi peruncit bagi sebarang pertanyaan.

Kod bagi bekas kelompok tin yang terjejas mengandungi K8, SH atau Z2, dengan dua angka pertama kod mencatatkan nombor dari 22 hingga 37.

Kelompok terjejas itu berasal dari Amerika Syarikat dan ia mempunyai tarikh luput 1 April 2022 atau lebih lewat.

Langkah ini diambil setelah Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) AS menyatakan ia sedang bekerjasama dengan Abbott Nutrition untuk memulakan penarikan semula secara sukarela tepung susu formula bayi berkenaan kerana ia bermungkinan mengandungi bakteria.

Pihak berkuasa AS sedang menyiasat aduan pengguna berhubung jangkitan yang dilaporkan terkait dengan pengambilan produk tersebut, menurut SFA.

FDA menyatakan di lamannya bahawa kesemua empat kes terkait dengan aduan itu sudahpun dimasukkan ke hospital dan jangkitan bakteria mungkin menyumbang kepada kematian salah satu kes tersebut.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan