Skip to main content

Singapura

S'pura tarik balik larangan perjalanan 10 negara Afrika

Singapura menarik balik larangan perjalanan ke atas penumpang dari 10 negara Afrika daripada memasuki atau membuat persinggahan di negara ini, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada lewat Ahad (26 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura tarik balik larangan perjalanan 10 negara Afrika

Para pelawat menunggu untuk mengambil bagasi masing-masing di Lapangan Terbang Changi Singapura. (Gambar fail: iStock)

SINGAPURA: Singapura menarik balik larangan perjalanan ke atas penumpang dari 10 negara Afrika daripada memasuki atau membuat persinggahan di negara ini, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada lewat Ahad (26 Dis).

Negara-negara itu ialah Botswana, Eswatini, Ghana, Lesotho, Malawi, Mozambique, Namibia, Nigeria, Afrika Selatan dan Zimbabwe.

Mulai jam 11.59 malam semalam, penumpang yang tiba di Singapura dengan sejarah perjalanan ke negara-negara itu dalam tempoh 14 hari lalu akan tertakluk kepada langkah-langkah sempadan Kategory IV negara.

Ini bermakna mereka perlu mengambil satu ujian tindak balas berantai polimerase (PCR) dalam masa dua hari sebelum berangkat ke Singapura serta sekali lagi sewaktu ketibaan.

Mereka juga perlu menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) selama 10 hari di sebuah kemudahan dikhususkan. Satu lagi ujian PCR akan dilakukan pada hujung tempoh kuarantin mereka.

Sebelum ini, pemegang pas jangka panjang dan pelawat jangka pendek yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara-negara Afrika itu baru-baru ini tidak dibenarkan memasuki atau membuat persinggahan di Singapura. Langkah itu menyusuli laporan awal mengenai kes Omicron di sana. Rakyat dan penduduk tetap Singapura yang pulang dari negara-negara itu perlu menjalani SHN selama 10 hari di sebuah kemudahan dikhas.

MOH menyatakan ia pada awalnya mengambil satu "pendekatan pembendungan risiko lebih berhati-hati" untuk mengurangkan penularan varian COVID-19 Omicron daripada merebak ke Singapura.

"Varian Omicron sudahpun menular secara meluas di seluruh dunia," menurut MOH sambil menambah bahawa Singapura sedang mengemas kini sekatan perjalanannya dengan sewajarnya.

"Sedang keadaan sejagat berubah, kami akan terus menyesuaikan langkah-langkah sempadan kami selaras dengan peta hala tuju untuk menjadi sebuah negara yang berdaya tahan terhadap COVID-19."

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita