Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura sumbang AS$10 juta kepada dana Bank Dunia bagi pencegahan, kesediaan dan respons pandemik

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura sumbang AS$10 juta kepada dana Bank Dunia bagi pencegahan, kesediaan dan respons pandemik

Gambar: CNA/Marcus Mark Ramos

Diterbitkan : 22 Jun 2022 03:34PM Dikemas Kini : 22 Jun 2022 03:35PM
SINGAPURA: Singapura akan menyumbang AS$10 juta (S$13.9 juta) kepada dana perantara kewangan (FIF) Bank Dunia bagi pencegahan, kesiapsiagaan dan respons pandemik, menurut Kementerian Kewangan (MOF) pada Selasa (21 Jun).

Dana tersebut bertujuan mengisi "jurang pembiayaan penting" dan menggalak pendekatan yang lebih diselaraskan bagi pelaburan ke dalam bidang-bidang tersebut, menurut MOF.

FIF juga akan membantu meningkatkan pelaburan domestik di negara-negara berpendapatan rendah dan pertengahan rendah selain membina kapasiti serantau serta global dalam pencegahan, kesiapsiagaan dan respons pandemik, tambah MOF.

Suruhanjaya Eropah, Jerman, Indonesia dan Amerika Syarikat (AS) juga sudah mengikrarkan sumbangan masing-masing bagi dana tersebut.

Menurut Bank Dunia, dana sedemikian memanfaatkan pelbagai sumber awam dan privet bagi menyokong inisiatif-inisiatif antarabangsa, sekali gus membolehkan masyarakat antarabangsa untuk menyediakan respons langsung dan terlaras kepada keutamaan sejagat.

FIF lain sudahpun ditubuhkan bagi mencegah penyakit berjangkit, bertindak balas terhadap perubahan iklim dan menyokong keselamatan makanan.

Singapura juga sudah menyumbang kepada mekanisme Komitmen Pasaran Lanjut Akses Global Vaksin COVID-19 (COVAX) dan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta agensi-agensi kesihatan antarabangsa lain sebagai respons kepada COVID-19.

"Singapura menyokong inisiatif-inisiatif berbilang hala bagi mengukuhkan keselamatan kesihatan global," menurut MOF.

FIF bagi pencegahan, kesiapsiagaan dan respons pandemik ditubuhkan menyusuli saranan oleh Panel Bebas Peringkat Tinggi G20 berhubung Pembiayaan Sumber Global bagi Kesiapsiagaan dan Respons Pandemik.

Panel itu dipengerusikan bersama oleh Menteri Kanan Singapura Tharman Shanmugaratnam dan ketua pengarah Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) Ngozi Okonjo-Iweala serta pakar ekonomi warga Amerika Lawrence Summers.

MOF menyatakan Singapura akan terus bekerjasama rapat dengan Indonesia sebagai Pengerusi G20 dan rakan-rakan kongsi antarabangsa "bagi mengukuhkan daya bingkas menyeluruh kami terhadap pandemik-pandemik akan datang".
Sumber : CNA/IM/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan