S'pura sediakan rangka tindakan bagi hab udara mampan
SINGAPURA: Kementerian Pengangkutan dan Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) sudah mula "melakar asas" bagi hab udara serba mampan, sedang Singapura mencergaskan semula perjalanan udara dalam tahun-tahun mendatang.
Demikian menurut CAAS hari ini (15 Feb).
Dengan kemampanan sebagai "keutamaan bagi sektor penerbangan Singapura", CAAS akan melibatkan pihak-pihak berkepentingan industri untuk "mendapatkan idea dan melakar laluan praktikal untuk menjadikan perjalanan udara yang lebih mesra alam sekitar berdaya maju dan boleh diakses oleh semua".
RANGKA TINDAKAN BAGI HAB UDARA, DAYA MAJU EKONOMI DIUTAMAKAN
Encik Iswaran menambah bahawa terdapat keperluan untuk menyatukan semua itu di bawah "rangka kerja menyeluruh bagi jangka panjang", dalam bentuk rangka tindakan hab udara yang mampan yang akan membuka laluan untuk mencapai sasaran.
Rangka tindakan bagi hab udara itu dijangka siap pada awal 2023, "memandangkan keadaan mendesak dan keperluan untuk bertindak tegas", katanya.
"(Rangka tindakan itu) akan menetapkan matlamat kemampanan jangka sederhana (2030) dan jangka panjang (2050) serta mengenal pasti laluan praktikal dan nyata untuk mencapainya. Ia akan menumpukan kepada tiga bidang utama iaitu lapangan terbang, syarikat penerbangan dan pengurusan trafik udara, menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan," tambah CAAS dalam kenyataan medianya.
Ia juga akan meletakkan asas untuk empat "pengupaya penting" yang diperlukan untuk menyokong dan memacu usaha nyah karbon di seluruh sektor: Dasar dan peraturan, pembangunan industri, perancangan dan penyediaan prasarana serta pekerjaan dan kemahiran.
"ASAS" SEDIA ADA BAGI PENERBANGAN BERDAYA MAMPAN
Terdapat "asas" sedia ada bagi hab udara berdaya mampan, menurut CAAS.
Sebagai contoh, Singapura adalah salah satu daripada 107 negara yang secara sukarela mengambil bahagian dalam fasa perintis Skim Pengimbangan dan Pengurangan Karbon bagi Penerbangan Antarabangsa (CORSIA) untuk memenuhi sasaran aspirasi global bagi pertumbuhan neutral karbon mulai 2020.
Selain memenuhi komitmennya sendiri, Singapura juga menyediakan sokongan pembangunan kapasiti kepada negara lain untuk membantu dalam pelaksanaan CORSIA.
Singapura juga sudah bekerjasama dengan negara peserta lain untuk membangunkan kit dasar bagi bahan api penerbangan mampan, tambah CAAS.
Kit itu bertujuan untuk membantu penggubal dasar di seluruh dunia mengembangkan bekalan bahan api penerbangan yang mampan, merangsang permintaan bagi bahan api tersebut dan membolehkan ekosistem bahan api penerbangan mampan yang sihat.
CAAS juga bekerjasama dengan pemain utama industri dalam pelbagai inisiatif untuk menyahkan karbon sektor itu, termasuk pemasangan panel solar, pesawat di darat yang dicas menggunakan elektrik, pelaksanaan sistem cekap tenaga dan penggunaan lebih banyak tenaga boleh diperbaharui di Lapangan Terbang Changi.
Minggu lalu, CAAS dan Singapore Airlines (SIA) mengumumkan bahawa untuk tempoh setahun bermula dari suku ketiga tahun ini, semua penerbangan SIA dan Scoot yang keluar dari Lapangan Terbang Changi akan menggunakan "campuran bahan api jet yang ditapis dan bahan api penerbangan mampan yang kemas.
"Ini dijangka mengurangkan kira-kira 2,500 tan pelepasan karbon dioksida dalam tempoh satu tahun," kata CAAS.
Selain itu, CAAS memanfaatkan "teknologi baru dan kerjasama antarabangsa" untuk mempertingkat kecekapan pengurusan trafik udara. Ini akan mengurangkan masa bawaan udara dan penggunaan bahan api.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.