Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura sedia terima saranan baru HSR dari M'sia, kata DPM Lawrence Wong

Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong pada Isnin (5 Sep) memberitahu Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob bahawa Singapura terbuka kepada saranan-saranan baru dari Malaysia berhubung projek Kereta Api Kelajuan Tinggi (HSR) yang dibatalkan.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura sedia terima saranan baru HSR dari M'sia, kata DPM Lawrence Wong

Timbalan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong bertemu Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob pada 5 September 2022 semasa lawatan rasminya ke Malaysia. (Gambar: MCI)

SINGAPURA: Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong pada Isnin (5 Sep) memberitahu Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob bahawa Singapura terbuka kepada saranan-saranan baru dari Malaysia berhubung projek Kereta Api Kelajuan Tinggi (HSR) yang dibatalkan.

Encik Wong juga menarik perhatian kepada minat Malaysia untuk menghidupkan semula perbincangan mengenai projek itu - sekali gus menyokong komen Perdana Menteri Lee Hsien Loong selepas beliau bertemu dengan rakan sejawatannya, Encik Ismail Sabri, sewaktu lawatan rasmi pertama oleh perdana menteri Malaysia itu ke Singapura pada November tahun lalu.

Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan Singapura, kini berada di Malaysia untuk melakukan lawatan rasmi yang pertama ke negara itu sejak dilantik sebagai DPM pada Jun.

Projek HSR, yang bermatlamat untuk menyingkatkan masa perjalanan antara Singapura dengan Kuala Lumpur kepada kira-kira 90 minit, dihentikan selepas beberapa kali ditangguhkan atas permintaan Malaysia.

Pada Disember 2020, perjanjian tersebut menemui tarikh luput.

Malaysia sudahpun membayar lebih S$102 juta dalam bentuk pampasan kepada Singapura atas pembatalan projek itu.

Pada Isnin, Pejabat Perdana Menteri (PMO) menyatakan dalam kenyataan medianya bahawa Encik Wong mengadakan pertemuan dengan Encik Ismail Sabri dan kedua-dua pemimpin saling "mengesahkan lagi kerjasama substantif dan menyeluruh yang dikongsi oleh Malaysia dan Singapura".

Encik Wong dan Encik Ismail Sabri mengalu-alukan kemajuan "baik" projek Sistem Transit Laju (RTS), yang dijadual akan memulakan khidmatnya pada hujung 2026.

Encik Wong kemudian mengulangi pelawaan PM Lee untuk mengundang Encik Ismail Sabri melakukan lawatan ke Singapura bagi Retreat Pemimpin Singapura-Malaysia ke-10, menurut PMO.

"Perdana Menteri Ismail Sabri dan Timbalan Perdana Menteri Wong mengalu-alukan kerjasama antara Singapura dengan Malaysia demi kemaslahatan bersama yang berterusan buat kedua-dua negara, termasuk bidang kerjasama baru dalam ekonomi mesra alam dan ekonomi digital," tambah kenyataan itu lagi.

Dalam kenyataan media berasingan pada Isnin, Kementerian Kewangan (MOF) juga menyatakan Encik Wong diraikan dalam satu majlis jamuan malam pada Ahad oleh Menteri Kewangan Malaysia Tengku Zafrul Aziz.

Mereka saling bertukar-tukar pandangan tentang cabaran serta peluang bagi Singapura dan Malaysia dalam mendepani masalah ekonomi sejagat serta perkembangan geopolitik, menurut MOF.

Pada Isnin, Encik Wong juga mengakan pertemuan dengan Gabenor Bank Negara Malaysia Nor Shamsiah Mohd Yunus.

"Mereka membincangkan tentang bagaimana Singapura dan Malaysia boleh memperkukuhkan kerjasama kewangan dalam banyak bidang, termasuk kewangan mampan, pembayaran digital rentas sempadan, membanteras penipuan dan kestabilan kewangan serantau," menurut MOF.

Encik Wong turut memeriksa Kawalan Kehormatan Kementerian Pertahanan Malaysia sebelum bertemu Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein.

MOF menyatakan kedua-dua pemimpin itu membincangkan cara-cara bagaimana untuk memperhebatkan kerjasama antara Singapura dengan Malaysia serta juga dalam rantau ASEAN.
 
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan