Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura sasar vaksinasi COVID-19 bagi kanak-kanak 6 bulan ke atas jelang suku keempat 2022

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 25 Jul 2022 08:20PM Dikemas Kini : 25 Jul 2022 09:22PM
SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan pada Isnin (25 Jul) bahawa ia menyasarkan untuk menyediakan suntikan vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak berumur antara enam bulan dengan empat tahun menjelang suku keempat tahun ini.

Dalam satu kenyataan yang menjawab pertanyaan media mengenai kematian dua kanak-kanak baru-baru ini akibat COVID-19, MOH menyatakan bahawa pihaknya sedang membuat persiapan yang diperlukan untuk melaksanakan pemberian vaksin.

MOH bagaimanapun tidak mendedahkan sama ada pihak bekuasa sudah meluluskan mana-mana vaksin untuk kanak-kanak dalam kumpulan enam bulan hingga empat tahun.

Mengenai isu kematian kanak-kanak, MOH menyatakan bahawa kematian kedua-dua kanak-kanak yang berumur antara 0 dengan 4 tahun setakat 23 Julai 2022 adalah serupa dengan penyakit berjangkit lain.

"Dua kematian itu membentuk tiga kematian bagi setiap 100,000 kes dalam kumpulan umur yang sama. Ini berbanding 99 kematian bagi setiap 100,000 kes bagi kumpulan umur 40 tahun ke atas tahun ini", menurut MOH.

"Ia tidak unik dalam kes COVID-19 kerana corak yang serupa dilihat dalam penyakit berjangkit lain, di mana kanak-kanak 0 hingga empat tahun jauh lebih berdaya tahan berbanding pesakit yang lebih tua. Namun, mereka lebih lemah berbanding kanak-kanak yang lebih tua dan golongan dewasa.

"Kanak-kanak 0 hingga 4 tahun juga sudah menjadi mangsa kepada penyakit lain seperti pneumonia dan influenza. Sebelum COVID-19, pada 2018 dan 2019, MOH mencatatkan 3.1 kematian kanak-kanak berumur 0 hingga 4 tahun untuk setiap 100,000 orang selama bertahun-tahun akibat pneumonia dan influenza."

JANGKITAN COVID-19

MOH menyatakan bahawa daripada 1.7 juta jangkitan COVID-19 yang dilaporkan di Singapura sejak permulaan pandemik, 64,000 (3.9 peratus) adalah kanak-kanak di bawah umur lima tahun.

Sebilangan besar daripada 64,000 kes pulih di rumah dan 0.022 peratus memerlukan bantuan oksigen ataupun perlu dipantau rapi di ICU, menurut MOH.

Jumlah itu berbanding 0.17 peratus pesakit dalam kumpulan umur 40 tahun ke atas yang memerlukan penjagaan di ICU.

MOH turut menyatakan bahawa buat masa ini "tidak ada bukti yang kukuh" bahawa varian Omicron akan menyebabkan penyakit yang lebih memudaratkan.

Kes penyakit teruk dalam kalangan kanak-kanak berumur 0 hingga empat tahun lebih rendah pada 12 bagi setiap 100,000 kes pada 2022 berbanding 41 bagi setiap 100,000 kes pada 2021, tambah MOH.
VAKSIN UNTUK KANAK-KANAK

MOH, Penguasa Sains Kesihatan Singapura (HSA) dan Panel Pakar mengenai Vaksin COVID-19, bulan lalu menyatakan bahawa ia sedang mengkaji keselamatan dan keberkesanan vaksin COVID-19 yang dirumuskan untuk kanak-kanak di bawah umur lima tahun.

Buat masa ini, kanak-kanak berumur lima tahun ke atas sudah layak menerima suntikan vaksin utama. Mereka yang berumur 12 tahun ke atas sudah menerima suntikan utama mereka dan layak menerima suntikan penggalak pertama.
Jumlah keseluruhan 1,659,156 kes COVID-19 dan 1,476 kematian sudah dicatat sejak bermulanya pandemik.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan