Skip to main content

Singapura

S’pura sambut ulang tahun ke-57 dengan pertunjukan NDP terbesar dalam 3 tahun

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 09 Aug 2022 07:50PM Dikemas Kini : 09 Aug 2022 09:38PM

SINGAPURA: Kembali dalam skala acara yang penuh buat pertama kali dalam masa tiga tahun.

Sambutan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) diadakan secara fizikal dan maya, dengan sekitar 2,200 peserta daripada 37 kontinjen, bagi memastikan rakyat Singapura daripada semua lapisan masyarakat, termasuk mereka yang mempunyai keupayaan berbeza, dapat menikmati sambutannya, sekali gus merangsang masyarakat inklusif.

Mereka termasuk kumpulan koir maya terdiri daripada 95 peserta yang terbentuk oleh kumpulan Voices of Singapore Children's Choir, gabungan Sekolah Pendidikan Khas (Sped) Persatuan Golongan Keperluan Khas (APSN) Chaoyang, APSN Katong dan Pathlight, kumpulan koir Sekolah Menengah Boon Lay dan Manjusri, SG Enable iChamps, seniman muzik kurang daya pendengaran dan kumpulan koir siswazah.

Mereka berusia antara tujuh tahun hingga 57 tahun.

Tepukan sorakan 25,000 penonton bergema di Pentas Terapung Marina Bay dan kawasan sekeliling.

Sempena sambutan ke 55 tahun perkhidmatan negara, mereka yang telah menyumbang kepada negara juga diberi penghormatan.

Acara perbarisan dan upacara istiadat tahun ini menandakan kembalinya tatu ketenteraan iaitu gabungan pancaragam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Pasukan Polis Singapura (SPF).

Selain perlu mengikut rentak irama dan gerak geri, pancaragam itu juga perlu membentuk formasi ikonik.

Kontinjen daripada tunggak sosial dan ekonomi serta sekolah-sekolah membuat kemunculan semula tahun ini.

Kontinjen-kontinjen lain terdiri daripada tentera darat, laut dan udara serta Home Team.

Ini termasuk Kontinjen membawa Panji-panji SAF dan kontinjen Kawalan Kehormatan.

Kontinjen perbarisan turut memberi penghormatan kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Para penonton pula berdiri hormat, menyanyikan Lagu Kebangsaan sedang Bendera Negara dibawa terbang lalu oleh helikopter Chinook, disusuli lima jet pejuang melakukan formasi pecahan membelah angkasa sebagai tanda hormat kepada negara.

Seterusnya, Presiden Halimah Yacob memeriksa kontinjen Pengawal Kehormatan dengan diiringi tembakan 21 das dilancarkan.

Atas arahan komander perbarisan, tembakan Feu-de-Joei atau 'Fire-of-Joy' juga dilepaskan untuk meraikan ulang tahun negara.

Bagi memperingati 55 tahun perkhidmatan negara (NS), semua anggota NS, yang lama dan baru diminta berdiri bagi satu segmen khas, mengenang sumbangan dan pengorbanan mereka.

Pada sebelah malam pula, bermulalah segmen konsert dengan tema 'Kisah Kita'.

Pembukaan segmen konsert membawa penonton mengimbas kembali kenangan apabila semuanya terhenti, penonton diingatkan tentang keperitan yang dilalui pada tahun 2020 angkara pandemik.

Acara kemudian diselang-selikan dengan persembahan secara langsung dengan kisah-kisah yang dikongsikan oleh individu dan mereka yang terjejas COVID-19.

Daripada mereka dalam bidang seni yang terjejas kerana tidak dapat membuat persembahan hinggalah guru-guru yang terpaksa membuat penyesuaian bagi pembelajaran dari rumah (HBL) buat pertama kalinya.

Acara NDP turut memberi penghargaan kepada jasa wira-wira barisan hadapan yang terus membantu negara untuk keluar daripada pandemik.

Ini termasuklah kakitangan jagaan kesihatan dan para pekerja penghantaran makanan.

Bibit-bibit kisah kehidupan mereka ini adalah bukti daya tahan negara sepanjang pandemik.

Sumber : BERITA Mediacorp/SU/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita