Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura sambut baik kerjasama dengan Hong Kong; rangsang pertumbuhan serantau

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 30 May 2022 06:03PM Dikemas Kini : 30 May 2022 09:00PM

HONG KONG: Singapura mengalu-alukan kerjasama yang rapat dengan pentadbiran baru Hong Kong bagi memacu pertumbuhan di rantau ini. 

Menulis dalam akhbar South China Morning Post, Menteri Kanan Teo Chee Hean menggariskan hubungan bersejarah antara Singapura dengan Hong Kong dan bagaimana ia mengorak langkah bagi membolehkan kedua-dua bandar untuk berkembang maju. 

Encik Teo, yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, kini berada di Hong Kong dalam lawatan pertama seorang pemimpin asing sejak bakal Ketua Eksekutif John Lee dilantik, tiga minggu lalu.

Singapura dan Hong Kong merupakan dua pusat kewangan yang menghadapi keadaan geopolitik tidak menentu dan persaingan antara kuasa-kuasa utama. 

Kedua-dua bandar ini sering dibandingkan antara satu sama lain tetapi menurut Menteri Kanan Teo Chee Hean, banyak yang dapat diraih oleh Singapura dan Hong Kong menerusi bekerjasama dalam bidang-bidang seperti pendidikan, menawarkan perumahan yang dimampui dan perubahan iklim. 

Lawatan Encik Teo ke Hong Kong dilakukan menjelang ulang tahun ke-25, sejak penyerahan wilayah itu kepada China. 

Perpaduan mendalam antara wilayah khas China itu dengan tanah besar China melibatkan usaha membangunkan sebuah ekonomi berteraskan inovasi di Kawasan Greater Bay Area (GBA), yang bertujuan menggalak pembangunan ekonomi serantau.

Ia sering dikaitkan dengan Lembah Silikon China.

Encik Teo yakin ia akan menyediakan lebih banyak peluang bagi kerjasama dengan Asia Tenggara.

Singapura sudahpun ada perjanjian dengan China seperti Inisiatif Bandar Bijak Singapura-China (Shenzhen), yang mewujudkan banyak peluang dalam GBA. 

Encik Teo akui peralihan Hong Kong dalam tempoh 25 tahun lalu, tidak lancar, dengan cabaran SARS, pandemik COVID-19 dan tunjuk perasaan politik pada 2019. 

Bagaimanapun beliau berkata, kemajuan bergantung kepada kestabilan, undang-undang dan keamanan.

Hong Kong, katanya, boleh memanfaatkan rangka kerja panduan "Satu Negara, Dua Sistem" yang membolehkan wilayah itu berkembang maju dari segi ekonomi. 

Kelebihan itu, tambah Encik Teo, akan terus memberi manfaat kepada Hong Kong.

Beliau juga berkata, bakal Ketua Eksekutif John Lee diberikan mandat jelas untuk terus membangunkan Hong Kong. 

Encik Teo menambah, beliau yakin bahawa kedua-dua bandar akan terus menjalinkan kerjasama yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dan mewujudkan peluang untuk para penduduknya. 

Sumber : Agensi berita/AI/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan