Skip to main content

Singapura

S'pura sahkan kes import cacar monyet selepas pramugara alami demam, ruam

Kementerian Kesihatan (MOH) mengesahkan satu kes import jangkitan cacar monyet di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura sahkan kes import cacar monyet selepas pramugara alami demam, ruam

Gambar fail kesan cacar monyet di tangan. (Gambar: iStock)

Diterbitkan : 21 Jun 2022 11:22PM Dikemas Kini : 22 Jun 2022 11:38PM
SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) mengesahkan satu kes import jangkitan cacar monyet di Singapura.

Pesakit itu ialah warga Britain berusia 42 tahun yang bekerja sebagai seorang pramugara. MOH menyatakan lelaki itu berada di Singapura antara 15 Jun dengan 17 Jun, dan sekali lagi pada 19 Jun kerana beliau terbang keluar masuk ke Singapura.

Beliau diuji positif bagi cacar monyet pada 20 Jun.

Beliau kini dirawat di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) dan keadaannya stabil. Pengesanan kontak sedang dijalankan, menurut MOH.

Kes tersebut mengalami sakit kepala pada 14 Jun dan demam pada 16 Jun. Gejala-gejala itu kemudian berkurangan dan beliau kemudian mengalami ruam kulit pada 19 Jun.

MOH menyatakan lelaki itu membuat janji temu dengan doktor melalui khidmat telekonsultasi pada sebelah malam 19 Jun dan dihantar ke NCID pada 20 Jun bagi penilaian lanjut.

"Pengesanan kontak sedang dijalankan bagi penerbangan-penerbangan terjejas dan bagi tempoh beliau berada di Singapura. Semasa tempoh itu, beliau kebanyakannya berada di bilik hotel, kecuali untuk mengunjungi rumah urut dan makan di tiga tempat makan pada 16 Jun.

"Secara amnya, risiko penularannya kepada pengunjung di lokasi-lokasi ini rendah, sedang data menunjukkan cacar monyet menular melalui kontak fizikal rapat atau berpanjangan. Kesemua empat lokasi yang dikunjungi oleh kes tersebut sedang menjalani pembersihan dan proses membersihkan kuman," jelas MOH.

Setakat 21 Jun, 13 kontak rapat sudahpun dikenal pasti. MOH menyatakan semua kontak rapat akan dikuarantin selama 21 hari sejak kontak terakhir mereka dengan kes itu.

"Selain itu, dua kontak berisiko rendah sudahpun dipantau melalui telefon. Mereka yang di bawah pemantauan menerusi panggilan telefon akan menerima panggilan setiap hari sepanjang tempoh 21 hari bagi memantau sebarang gejala yang timbul.

"Jika mereka disyaki dijangkiti, mereka akan segera dihantar ke NCID bagi penilaian lanjut dan diasingkan bagi mencegah penularan lanjut," jelas kementerian itu.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita