Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura peruntuk lagi S$66 juta untuk kaji prasarana sudah meningkat tua

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura peruntuk lagi S$66 juta untuk kaji prasarana sudah meningkat tua

Flat HDB Bina-Ikut-Tempahan (BTO) di Singapura. (Gambar: CNA/Calvin Oh)

Diterbitkan : 01 Aug 2022 01:01PM Dikemas Kini : 01 Aug 2022 01:03PM
SINGAPURA: Tambahan S$66 juta akan diperuntukkan kepada program penyelidikan dan pengembangan (R&D) 'Cities of Tomorrow' sepanjang lima tahun akan datang, umum Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee pada Isnin (1 Ogos).

Inisiatif tersebut mengenal pasti cabaran-cabaran utama bandar dan membangunkan huraian-huraian R&D bagi menyokong bandar-bandar yang berdaya tahan, mampan dan sesuai didiami.

Semasa berucap di Sidang Puncak Bandar Sedunia, Encik Lee berkata program tersebut menyaksikan "kemajuan yang baik".

Tambahan S$66 juta itu akan menyokong usaha untuk membangunkan huraian-huraian yang berupaya "membantu menaik taraf" prasarana Singapura yang meningkat tua dan mewujudkan lebih banyak ruang bagi menampung keperluan bandar, tambah Encik Lee.

"Kita akan membangunkan huraian-huraian yang menggunakan teknologi terkini seperti analitik data dan kecerdasan buatan (AI) bagi membolehkan perancangan bandar dengan lebih berkesan yang berupaya mengatasi lebih banyak kerumitan," ujar Encik Lee selanjutnya.

"Melalui lebih banyak kerjasama R&D sesama agensi pemerintah, masyarakat penyelidikan dan sektor swasta, kami berharap usaha untuk saling bertukar-tukar idea akan mengukuhkan ekosistem inovasi bagi persekitaran terbina kita dan membantu bandar kita untuk menangani cabaran-cabaran baru dengan lebih baik lagi."

Semasa Jawatankuasa Perbekalan membahaskan peruntukan bagi Kementerian Pembangunan Negara (MND) pada awal tahun ini, pemerintah ketika itu mengumumkan bahawa lagi S$110 juta akan diperuntukkan kepada program 'Cities of Tomorrow'.

Program berkenaan dilancarkan pada 2017 dan pemerintah ketika itu memperuntukkan sebanyak S$150 juta bagi program tersebut.

Daripada S$66 juta yang diumumkan hari ini, S$13 juta akan digunakan untuk menangani cabaran-cabaran prasarana yang meningkat tua melalui pembangunan sistem pemeriksaan dan pembaikan bangunan yang berdaya maju serta bahan-bahan binaan yang canggih dan tahan lama, dedah MND dalam kenyataan media yang berasingan pada Isnin (1 Ogos).

Sekitar S$35 juta pula akan digunakan untuk meneroka cara-cara bagi mewujudkan ruang bawah tanah dan laut dengan cara yang lebih cekap dari segi kos, daya bingkas dan daya keluaran. Ini bagi meningkatkan lebih banyak ruang tanah untuk menyokong 'kegiatan hidup-kerja-riadah', menurut kenyataan media itu lagi.

Baki S$18 juta akan digunakan untuk membangunkan huraian perancangan bandar berbilang disiplin maju yang berupaya menggabungkan sains bandar, analitik data dan AI bagi membantu para perancang dan penggubal dasar menyediakan khidmat dan menyampaikan hasil perancangan yang lebih bersasar, tegas MND.
Sumber : CNA/AW/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan