Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura 'pertimbang semula' garis masa bagi skim pulangkan bekas minuman

Anggaran Waktu Membaca:
 S'pura 'pertimbang semula' garis masa bagi skim pulangkan bekas minuman

Dr Amy Khor di kemudahan kitar semula di Sydney pada 27 Apr 2022. (Gambar: MSE)

 

Diterbitkan : 01 May 2022 10:33AM Dikemas Kini : 01 May 2022 10:37AM

SYDNEY: Pemerintah Singapura akan "mempertimbangkan semula" garis masa bagi pelaksanaan skim pulangkan bekas minuman menyusuli maklum balas daripada pemain industri.

Demikian menurut Menteri Negara Kanan Kemampanan dan Sekitaran Dr Amy Khor pada Jumaat (29 Apr).

Skim itu, yang akan menggalak orang ramai mengitar semula bekas-bekas minuman seperti botol plastik dan tin aluminium, diumumkan semasa perbahasan Peruntukan Jawatankuasa Perbekalan (COS) tahun lalu. Ia sepatutnya dilancarkan pada 2023 dan satu rangka kerja perundangan diperkenalkan tahun ini.

Bagaimanapun, pemain industri menyatakan mereka memerlukan lebih banyak masa untuk bersiap sedia bagi pelaksanaan skim tersebut, kata Dr Khor kepada wartawan.

Ini termasuk menghabiskan bekalan sedia ada, yang tidak tertera kod bar (barcode). Di negara-negara yang melaksanakan skim-skim serupa, kod bar lazimnya digunakan untuk menentukan sama ada produk itu boleh dikitar semula.

"Kami maklum kerumitan skim tersebut dan kami sudah berunding dan mendampingi pihak-pihak berkepentingan secara meluas," kata Dr Khor.

"Kami menimbangkan pandangan-pandangan dan maklum balas pihak-pihak berkepentingan, selain juga bekerjasama dengan mereka mengenai garis masa yang sesuai bagi pelaksanaan skim itu."

Dr Khor berkata demikian kepada wartawan selepas menggulung lawatan lima hari ke Sydney, di mana beliau memimpin delegasi yang terdiri daripada syarikat-syarikat dan ahli akademik Singapura dalam satu lawatan perniagaan yang dianjurkan Persatuan Pengurusan Sisa dan Kitar Semula Singapura.

Rombongan 30 orang itu, yang termasuk wakil-wakil syarikat pengurusan sisa, mengadakan lawatan ke kemudahan sisa dan kitar semula di wilayah New South Wales Australia untuk belajar tentang proses-proses mereka serta huraian kepada cabaran seperti kadar tinggi pencemaran dan mendapatkan sokongan awam.

Lawatan itu dibuat sedang Singapura bersiap sedia untuk melaksanakan skim pulangkan bekas minuman, sekali gus membuka jalan bagi rangka kerja nasional yang akan menjadikan syarikat-syarikat bertanggungjawab ke atas proses mengambil balik produk-produk yang boleh dikitar semula daripada pelanggan, mengitar semula dan membuang bungkusan.

Skim Tanggungjawab Pengeluar Diperluas (EPR), bagi bungkusan bertujuan untuk meningkatkan kadar kitar semula bagi sisa bungkusan, yang sekarang ini menyumbang kepada sepertiga sisa yang dihasilkan daripada isi rumah di Singapura. Ia juga bertujuan untuk mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke kawasan pelupusan sampah.

Ia akan menjadi kumpulan kedua sisa yang bakal dikendalikan di bawah strategi tersebut.

Tahun lalu, rangka kerja EPR bagi sisa elektronik dilaksanakan, menjadikan pengeluar, pengimport dan peruncit peralatan elektrik dan elektronik bertanggungjawab untuk mengambil balik dan menguruskan dengan betul sisa elektronik.

Menurut laporan terbaru sisa Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), hanya enam peratus sisa plastik di Singapura - termasuk bungkusan plastik - dikitar semula tahun lalu, dengan bakinya dibakar di loji-loji yang menukar sisa kepada tenaga.

Namun langkah-langkah sudah dimulakan untuk mengurangkan lambakan sisa bungkusan di Singapura.

Syarikat-syarikat kini dikehendaki melaporkan jumlah bungkusan yang digunakan. Di bawah skim Laporan Wajib mengenai Bungkusan, pengeluar produk yang dibungkus, dengan pendapatan kasar tahunannya melebihi S$10 juta diperlukan untuk menyerahkan laporan.

Ini termasuk pengilang, pengimport, pemilik jenama serta peruncit seperti pasar raya.

Laporan itu termasuk maklumat tentang jenis dan jumlah bungkusan yang digunakan syarikat bagi produk mereka di Singapura dan rancangan untuk mengurangkan, mengguna semula atau mengitar semula produk-produk tersebut.

Laporan tahunan itu akan melakarkan asas bagi skim EPR yang akan dilaksanakan menjelang 2025.

Bulan lalu, Pemerintah mengumumkan bahawa pasar raya besar perlu mengenakan caj minimum 5 sen bagi setiap beg plastik pakai buang mulai pertengahan 2023.

"Kami memperhebat usaha kami, kami mengambil pendekatan seluruh masyarakat (di mana terdapat berbilang pihak berkepentingan), maka ia bukan setakat tentang kitar semula," kata Dr Khor.

"Ia seharusnya bermula dengan usaha mengurangkan dan menggunakan semula terlebih dahulu, dan kitar semula memang perlu dilakukan tetapi itu bergantung kepada sisa daripada anda tetapi kami menukarnya kepada sesuatu yang bernilai," tambah beliau.
 

Sumber : CNA/NK/nk

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa