Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura permudah peraturan COVID-19; tidak perlu jarak selamat jika pakai pelitup

Anggaran Waktu Membaca:
 S'pura permudah peraturan COVID-19; tidak perlu jarak selamat jika pakai pelitup

Pelanggan di pusat makanan di People's Park Centre. (Gambar: Jeremy Long)

SINGAPURA: Singapura akan mempermudahkan peraturan-peraturan COVID-19 dan tidak memerlukan syarat jarak selamat dalam sekitaran di mana pelitup dipakai.

Demikian diumumkan oleh pasukan bertindak berbilang kementerian hari ini (16 Feb). 

Peraturan terkini yang akan dikuatkuasakan mulai 25 Februari memberi tumpuan kepada lima "langkah paling penting dan berkesan", iaitu saiz kumpulan, pemakaian pelitup, peraturan di tempat kerja, penjarakan sosial dan had kapasiti. 

Berucap semasa sidang media pasukan bertindak tersebut, pengerusi bersama Gan Kim Yong berkata langkah-langkah pengurusan selamat dipermudahkan supaya senang difahami dan dipatuhi oleh para penduduk dan perniagaan. 

"Ini juga akan menggalak sikap tanggungjawab peribadi, yang memainkan peranan semakin penting dalam perjalanan kita menentang COVID," kata beliau.  

Apabila jumlah kes COVID-19 mula merosot, Singapura boleh melonggarkan lagi langkah-langkah COVID-19, kata Encik Gan. 

"Sementara itu, kami akan memperkemaskan dan merasionalkan langkah-langkah sempadan dan protokol-protokol jagaan kesihatan serta pengurusan selamat untuk bersiap sedia agar dapat membuka semula negara selepas gelombang Omicron beransur pulih." 

"Kelima-lima garis ini merupakan aspek-aspek paling penting bagi langkah-langkah pengurusan selamat (SMM) untuk mengawal pandemik," kata Menteri Kesihatan dan pengerusi bersama pasukan bertindak Ong Ye Kung. 

Meskipun ini tidak bermaksud peraturan akan ditarik balik, langkah-langkah tersebut mempunyai "kesan-kesan yang agak jels" tentang cara Singapura mengawal pandemik COVID-19. 

Jika varian baru yang membimbangkan muncul, pihak berkuasa akan cuba mengubah lima-lima langkah itu dan "bukan melakar peraturan-peraturan mikro lain bagi persekitaran berbeza" yang menambah kepada "peraturan-peraturan yang mengelirukan," kata Encik Ong. 

PERHIMPUNAN SOSIAL MASIH DIHADKAN PADA 5 ORANG 

Mulai 25 Februari, jarak selamat masih digalakkan, namun tidak diperlukan antara individu-individu atau kumpulan-kumpulan yang memakai pelitup. 

Demikian menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan media berasingan. 

Perhimpunan sosial masih dihadkan kepada lima orang. Namun, setiap rumah kini boleh menerima lebih ramai tamu setiap hari terhad kepada lima tamu sekumpulan pada satu-satu masa, berbanding hanya lima tamu yang dibenarkan setiap hari sebelum ini. 

Kebiasaan memakai pelitup akan diteruskan, menurut kementerian tersebut, sambil menambah bahawa "tiada pengecualian baru". 

Bagi tempat kerja pula, 50 peratus pekerja yang bekerja dari rumah akan dibenarkan kembali ke pejabat. 

Namun, dengan perubahan kepada langkah-langkah pengurusan selamat, peraturan di tempat kerja harus "sejajar" dengan peraturan masyarakat, menurut kementerian itu lagi. 

Misalnya, para pekerja yang memakai pelitup tidak perlu memastikan jarak selamat satu meter di tempat kerja. Perhimpunan sosial di tempat kerja juga akan dibenarkan, dengan sehingga lima orang sekumpulan. 

"Tiada sekatan terhadap pengerahan pekerja di tempat-tempat kerja berlainan, meskipun majikan boleh terus berbuat sedemikan atas sebab kesinambungan perniagaan," tambah MOH. 

SAIZ ACARA BERDASARKAN KEUPAYAAN TEMPAT 

Mulai 4 Mac, had saiz tertentu bagi acara-acara akan dilonggarkan. Ini termasuk acara keagamaan, persandingan, perniagaan, sidang media, pengebumian dan kelas-kelas yang memerlukan pelajar memakai pelitup sepanjang tempoh kelas.

MOH akan menetapkan saiz acara berdasarkan kapasiti tempat tersebut dan tidak menetapkan had saiz mengikuti jenis acara yang diadakan. 

Selain itu, langkah mewujudkan zon akan ditarik balik kerana "perlindungan utama" adalah melalui pelitup dan vaksinasi, menurut MOH. 

Namun, bagi acara besar-besaran dan tempat yang mempunyai risiko jangkitan lebih tinggi, had kapasiti masih akan dilaksanakan. Ini termasuk daya tarikan, kapal pesiaran, MICE dan acara berhubung kait kerja besar-besaran, serta stadium sukan atau tempat-tempat kesenian. 

Ini bermaksud acara-acara lebih kecil atau tempat dengan 1,000 orang ke bawah boleh diteruskan tanpa sebarang had keupayaan, manakala bagi acara lebih besar dengan lebih 1,000 orang harus mematuhi had kapasiti 50 peratus. 

Acara-acara tanpa pelitup harus mematuhi jarak selamat satu meter. 

Dengan peraturan baru itu, amalan-amalan yang "sebenarnya tidak memberi perbezaan nyata" kepada pandemik tidak lagi dilarang, kata Encik Ong. 

"Misalnya, jika mereka memakai pelitup, tidak perlu duduk bersilang di taman atau di tempat buang air kecil di tandas lelaki. Atau apabila mereka memakai pelitup dan berdiri bersama-sama untuk mengambil gambar, mereka tidak perlu menjaga jarak satu meter," tambahnya. 

MOH juga mengumumkan beberapa perubahan kepada langkah-langkah pengurusan selamat berdasarkan status vaksinasi (VDS). 

Mulai 25 Februari, kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah yang tidak divaksin tidak perlu datang dari rumah yang sama untuk digolongkan ke dalam kumpulan yang memasuki premis atau mengambil bahagian dalam kegiatan. 

Sehingga 30 orang yang sudah divaksin sepenuhnya boleh menyertai kegiatan sukan di kemudahan sukan yang diluluskan tanpa perlu mengambil ujian kendiri di kemudahan itu sebelum mula bersukan.

Langkah-langkah pengurusan selamat harus dipatuhi sebelum dan selepas aktiviti dan juga semasa waktu rehat, menurut MOH. 

Mereka tidak perlu mengambil ujian COVID-19 jika semua lengkap divaksin, namun para peserta digalakkan untuk melakukan ujian kendiri sebelum itu. 

"Punca utama penularan COVID-19 ialah kontak rapat yang berpanjangan seperti makan bersama-sama di ruang yang tertutup. Namun, bagi sukan, apabila sedang bermain, ia melibatkan kontak sementara antara pemain-pemain di padang ataupun gelanggang," kata Encik Ong.

"Lantaran itu, tiada bukti yang menunjukkan bahawa penyertaan dalam sukan menyebabkan lebih banyak jangkitan. Anda lebih berkemungkinan dijangkiti virus apabila menjamu selera bersama rakan-rakan berbanding bermain sukan dengan mereka." 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan