Skip to main content

Singapura

S'pura perkenal langkah baru kawal pasaran hartanah; had pinjaman maksimum diperketatkan

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura perkenal langkah baru kawal pasaran hartanah; had pinjaman maksimum diperketatkan

(Gambar fail: Calvin Oh/CNA)

Diterbitkan : 30 Sep 2022 10:21AM Dikemas Kini : 30 Sep 2022 10:55AM

SINGAPURA: Pemerintah pada Khamis (29 Sep) memperkenalkan satu siri langkah bagi mengawal pasaran hartanah yang bermatlamat untuk menyederhanakan permintaan di tengah-tengah kadar faedah yang semakin meningkat.

Langkah-langkah tersebut termasuk mengetatkan had kuantum pinjaman maksimum dan memperkenalkan tempoh selama 15 bulan bagi para pemilik rumah privet yang ingin membeli flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Had pinjaman yang diluluskan berdasarkan nilai hartanah juga akan diperketatkan dari 85 peratus kepada 80 peratus.

Ini diumumkan melalui satu kenyataan media bersama oleh HDB, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan
Kementerian Pembangunan Negara (MND) pada Khamis malam (29 Sep).

Agensi-agensi tersebut turut menarik perhatian bahawa kadar faedah sudah "meningkat dengan ketara" dan berkemungkinan akan meningkat lagi pada masa hadapan, sekali gus menjejaskan kos pinjaman untuk pembelian rumah.

"Untuk memastikan pinjaman berhemat dan mengelakkan kesulitan dalam melunaskan pinjaman rumah pada masa akan datang, Pemerintah akan mengetatkan had kuantum pinjaman maksimum bagi pinjaman perumahan," menurut agensi-agensi tersebut.

Dalam pada itu, kadar faedah yang lebih tinggi akan diambil kira semasa menilai keupayaan peminjam untuk membayar balik pinjaman.

Ini akan dilaksanakan melalui dua langkah: Menaikkan kadar faedah jangka sederhana, yang digunakan untuk menghitung Nisbah Ansuran Pinjaman (MSR) sebanyak 0.5 peratus dan memperkenalkan lantai kadar faedah sebanyak 3 peratus bagi mengira jumlah pinjaman yang layak bagi mereka yang diluluskan oleh HDB.

Kadar faedah jangka sederhana yang dinaikkan itu akan dikenakan bagi pinjaman yang digunakan untuk membeli hartanah, di mana pilihan untuk membeli diberikan pada atau selepas 30 September.

Jika tiada pilihan untuk membeli, ia akan diguna pakai jika perjanjian jual beli adalah pada atau selepas tarikh tersebut.

Bagi pinjaman yang diluluskan oleh HDB, kadar baru itu akan dikenakan pada permohonan baru bagi surat kelayakan pinjaman HDB yang diterima pada atau selepas tengah malam pada 30 September.

Sementara itu, Nisbah Antara Pinjaman dengan Nilai Hartanah (LTV) bagi pinjaman HDB juga akan diperketatkan dari 85 peratus kepada 80 peratus.

"Had LTV yang lebih ketat itu akan diguna pakai bagi permohonan flat baru dan permohonan lengkap bagi flat jualan semula yang diterima oleh HDB pada atau selepas 30 Sep 2022," menurut agensi-agensi tersebut.

Ini mengurangkan jumlah maksimum yang para pemilik rumah dibenarkan meminjam dari HDB.

Sungguhpun demikian, had yang disemak semula itu tidak akan dikenakan ke atas pinjaman yang diluluskan oleh institusi-institusi kewangan, yang akan dikekalkan pada 75 peratus.

Agensi-agensi tersebut turut menyatakan bahawa mereka tidak menjangkakan langkah demikian akan menjejas para pembeli kali pertama dan pembeli berpendapatan rendah dengan ketara.

Ini kerana kumpulan-kumpulan pembeli rumah itu masih menerima geran perumahan sehingga S$80,000 apabila membeli flat bersubsidi terus daripada HDB atau S$160,000 apabila membeli flat jualan semula.

Disebabkan oleh "momentum yang meningkat dengan ketara pada harga flat jualan semula HDB", bagi menyederhanakan permintaan dan memastikan flat jualan semula kekal dimampui, Pemerintah menguatkuasakan tempoh menunggu selama 15 bulan ke atas para pemilik rumah privet sebelum mereka boleh membeli flat jualan semula HDB yang tidak bersubsidi.

Ini akan bermula selepas mereka menjual hartanah mereka.

Peraturan baru itu juga akan dikenakan ke atas mereka yang menjual hartanah privet mereka sebelum membuat permohonan untuk membeli flat jualan semula.

Tempoh menunggu tersebut bagaimanapun tidak dikenakan ke atas warga emas yang berusia 55 tahun dan ke atas yang berpindah dari hartanah privet mereka ke flat jualan semula empat bilik atau lebih kecil, menurut agensi-agensi tersebut.

"Pemerintah kekal komited untuk memastikan perumahan awam inklusif, dimampui dan boleh diakses oleh rakyat Singapura. Kami akan terus memantau pasaran hartanah dan menyesuaikan dasar-dasar kami bagi memastikan ia kekal relevan."

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita