Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura-AS perbaharui kerjasama prasarana termasuk projek mesra alam

Anggaran Waktu Membaca:

WASHINGTON: Singapura dan Amerika Syarikat (AS) pada Selasa (29 Mac) memperbaharui perjanjian untuk mengukuhkan lagi kerjasama dalam bidang pembangunan prasarana, sekali gus memperluaskan perjanjian tersebut untuk merangkumi projek-projek mesra alam di rantau ini. 

Memorandum Persefahaman (MOU) ditandatangani oleh Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) Gabriel Lim dan Encik Scott Nathan, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan  Pembangunan Kewangan Antarabangsa Amerika Syarikat (DFC). 

Majlis pemeteraian MOU itu diadakan di luar lawatan kerja Perdana Menteri Lee Hsien Loong ke AS yang bermula pada 26 Mac dan dijadual berakhir pada 2 April. 

MOU yang dimeterai buat pertama kalinya pada 2019, bertujuan untuk mengeratkan kerjasama antara agensi-agensi prasarana kedua-dua negara supaya dapat merangsang perdagangan dan pelaburan infrastruktur. 

Selain memperluaskan kerjasama untuk meliputi projek-projek infrastruktur yang mampan dan hijau di rantau ini, MOU baru ini juga akan meneroka pendekatan-pendekatan baru bagi menggembleng sektor privet. 

"Kedua-dua negara juga akan mempertingkatkan kerjasama melalui perkongsian maklumat, memudahkan pemeteraian perjanjian, memperkenalkan inisiatif-inisiatif bagi membina keupayaan dan menyokong projek-projek infrastruktur yang berpotensi di rantau ini dalam aspek-aspek yang akan menarik minat kedua-dua negara," menurut MTI, sambil merujuk kepada tenaga yang boleh diperbaharui dan cara-cara mengurangkan pelepasan karbon daripada proses-proses perindustrian sebagai contoh bagi bidang-bidang  baru itu. 

"Syarikat-syarikat Singapura dan AS boleh menjangkakan lebih banyak peluang untuk membangunkan dan membiayai infrastruktur bagi merealisasikan potensi Asia," tambah MTI. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan