S'pura, New Zealand perhebat usaha inovasi, teknologi makanan yang mampan
SINGAPURA: Singapura dan New Zealand bekerja lebih rapat untuk merangsang inovasi dalam perdagangan, makanan dan teknologi.
Bidang-bidang khusus yang disasarkan termasuk e-dagang, pemindahan makanan ke kapal dan teknologi baru muncul.
Beberapa perjanjian turut dimeterai semasa lawatan Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern ke Singapura.
Dengan perjanjian yang dimeterai, badan-badan perdagangan Singapura dan New Zealand bersetuju untuk menggalakkan perkongsian kepakaran dan pengetahuan selain membangunkan rangkaian di pasaran satu sama lain.
Institut Teknologi Singapura (SIT) akan bekerjasama dengan rangkaian inovasi makanan yang disokong kerajaan New Zealand dalam membangunkan teknologi makanan mampan.
Produk-produk tenusu, makanan laut dan daging adalah eksport-eksport utama New Zealand, manakala Singapura menyasar untuk meningkatkan penghasilan makanan tempatan untuk mencapai matlamat 30 peratus keperluan negara, menjelang 2030.
Mereka akan membantu firma-firma di kedua-dua negara untuk mengembangkan pasaran satu sama lain.
Kerjasama itu juga akan memperdalamkan usahasama mengenai teknologi makanan mampan.
"Kerjasama yang kita ada hari ini antara New Zealand dengan Singapura membawa para pengeluar makanan dan pembawa inovasi lebih dekat kepada pasaran yang mana mereka akan dapat menjual barangan.
"Dengan penduduk yang semakin menua dan lebih banyak sisa makanan dan permintaan pengguna untuk makanan berkhasiat, saya ghairah tentang apa yang kita boleh lakukan bersama untuk menghuraikan masalah global ini," ujar Cik Ardern.
Makanan dan minuman membentuk 60 peratus daripada keseluruhan eksport New Zealand ke Singapura.
Ini diharap dapat diperluas ke bidang-bidang dengan peluang-peluang baru muncul seperti agroteknologi, pengangkutan dan e-dagang yang mana kedua-dua pihak boleh melengkapi satu sama lain.
Perjanjian ini dimeterai sedang Singapura meningkatkan usaha untuk membantu syarikat-syarikatnya berkembang ke luar negara.
Khususnya kerjasama dengan New Zealand dipertingkat terutama kerana pelaburan langsung dari Singapura ke New Zealand mencecah sekitar $3.9 bilion pada 2020.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.