Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura mungkin saksikan 'gelombang besar' COVID-19, Omicron kini dominan, kata Gan Kim Yong

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 21 Jan 2022 06:08PM Dikemas Kini : 22 Jan 2022 12:02AM


SINGAPURA: Singapura mungkin menyaksikan 'gelombang besar' COVID-19 tidak lama lagi, dengan 70 peratus kes harian jangkitan adalah akibat varian Omircron, menurut pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian Encik Gan Kim Yong hari ini (21 Jan).

"Namun hakikatnya, jumlah tersebut kemungkinan lebih tinggi, mungkin hampir 90 peratus atau lebih. Omicron sudah mengatasi varian Delta di Singapura," menurut Encik Gan semasa sidang media yang diadakan tadi.

"Memandangkan varian Omicron lebih mudah berjangkit, terdapat kemungkinan kita akan menyaksikan gelombang besar."

Kebanyakan kes Omicron adalah "ringan" terutamanya dalam kalangan individu yang lengkap divaksin dan lebih-lebih lagi bagi mereka yang sudah menerima suntikan dos penggalak COVID-19, menurut Encik Gan.

"Peratusan yang memerlukan bantuan oksigen, jagaan rapi atau meninggal dunia adalah jauh lebih rendah berbanding gelombang Delta. Ini sama seperti pengalaman di negara-negara lain seperti Afrika Selatan dan Britain," tambahnya.

Dalam satu kenyataan media, Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan ia menjangkakan jumlah kes naik akan melambung tinggi.

"Jumlah kes boleh naik seganda setiap dua hingga tiga hari dan mungkin mencecah 10,000 hingga 15,000 kes setiap hari," menurut kementerian itu.

Namun, memadangkan Omicron kurang mudarat, Singapura patut menumpukan perhatian kepada jumlah pesakit dalam unit jagaan rapi dan bukan jumlah kes, tambah MOH.

"Sungguhpun demikian, memandangkan Omicron lebih mudah berjangkit, kita tidak boleh bersikap sambil lewa, kerana jika jumlah keseluruhan kes naik hingga tidak terkawal, ia boleh membawa jumlah kes yang dimasukkan ke hospital dan ICU ke paras tidak dapat ditangani," menurut MOH.

RANCANGAN TERUSKAN PERNIAGAAN

Singapura juga mesti bersiap sedia bahawa "sejumlah besar" tenaga kerja mungkin dijangkiti koronavirus, menurut Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan.

"Jika kita mempunyai, sebagai contoh, 15,000 kes sehari, iaitu sesuatu yang sangat mungkin, dengan setiap daripada mereka tidak boleh bekerja secara purata lima hari, kami menjangkakan 75,000 pekerja tidak boleh bekerja disebabkan COVID-19."

Jumlah tersebut akan lebih tinggi jika kontak rapat dimasukkan ke dalam perkiraan itu.

"Ini dialami oleh negara-negara lain dan kita tidak boleh mengambil ringan," kata Encik Gan.

Syarikat-syarikat mesti melaksanakan perancangan teguh kesinambungan perniagaan untuk mengurangkan gangguan kepada operasi terutamanya mereka yang bekerja dalam khidmat penting, tambah beliau.

PROTOKOL JAGAAN KESIHATAN

Beberapa langkah akan dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan untuk mempersiapkan Singapura bagi gelombang Omicron.

Ini termasuk menggantung lawatan ke wad hospital dan rumah jagaan bagi empat minggu seterusnya.

Kementerian itu juga merancang untuk memanfaatkan sumber-sumber jagaan kesihatan dan menyesuaikan protokol pemulihan.

Kajian-kajian oleh Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) menunjukkan bahawa meskipun varian Omicron lebih mudah berjangkit, para individu yang dijangkiti membawa beban virus yang lebih rendah dan "secara amnya pulih lebih cepat", kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung.

Lantaran itu, tempoh pengasingan bagi para individu yang lengkap divaksin dan kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah akan dikurangkan dari 10 kepada tujuh hari, menurutnya.

MOH juga akan membolehkan lebih ramai orang yang layak untuk mengikuti Protokol 2, kata Encik Ong.

Protokol 2 adalah di mana para individu yang diuji positif bagi COVID-19 harus mengasingkan diri di rumah selama 72 jam seterusnya. Mereka boleh menjalankan ujian kendiri selepas 72 jam dan jika mereka negatif, mereka boleh menamatkan pengasingan.

Sedang ia menjadi "lebih terbukti" bahawa varian Omicron kurang mudarat berbanding varian Delta, para doktor GP kini menyaksikan lebih banyak kes ringan dan menetapkan Protokol 2 kepada lebih ramai orang.

Kes-kes Protokol 2 daripada GP naik daripada 400 kepada 500 kes sehari minggu lalu, kepada lebih 1,000 kes sehari minggu ini, katanya.

Atas saranan jawatankuasa pakar bagi vaksinasi COVID-19, Singapura akan memperluaskan program suntikan dos penggalak kepada mereka berusia 12 hingga 17 tahun.

Pada awal Januari, MOH mengumumkan bahawa mulai 14 Februari, mereka yang berusia 18 tahun dan ke atas perlu mengambil suntikan dos penggalak dalam tempoh 270 hari selepas dos kedua bagi mengekalkan status lengkap divaksin.

Bagi mereka yang berusia 12 hingga 17 tahun, tarikh akhir ditetapkan pada 14 Mac, menurut MOH.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan