Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura, M'sia setuju usaha sambung semula perjalanan udara, darat bagi mereka yang lengkap divaksin: Ong Ye Kung

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Singapura dan Malaysia sudah bersetuju untuk berusaha menyambung semula sepenuhnya perjalanan udara dan darat bagi mereka yang sudah lengkap divaksin. 

Demikian menurut Menteri Kesihatan Ong Ye Kung hari ini (23 Mac). 

Encik Ong kini berada di Kuala Lumpur bagi satu lawatan kerja atas undangan rakan sekerjanya di Malaysia, iaitu Encik Khairy Jamaluddin.

"Kami sudah mengadakan rundingan yang berhasil dan terus-terang. Kami bersetuju bahawa Singapura dan Malaysia mempunyai hubungan dua hala yang cemerlang dan panjang, penduduk kami juga mempunyai banyak ikatan. Namun, semuanya terganggu akibat pandemik COVID-19," menurut Encik Ong dalam satu catatan Facebook. 

"Kami juga bersetuju bahawa situasi COVID-19 sudah kembali stabil dan sedang pulih di kedua-dua negara. Justeru, kami sekarang harus berusaha untuk menyambung semula sepenuhnya perjalanan udara dan darat untuk mereka yang sudah lengkap divaksin." 

Encik Ong menyatakan penyambungan semula sepenuhnya perjalanan udara dan darat akan membantu mereka yang sudah lengkap divaksin untuk mempererat hubungan silaturahim yang terjejas dek COVID-19. 

Singapura kini menawarkan Laluan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) Darat dan Udara bersama Malaysia. 

Di bawah VTL udara, terdapat penerbangan antara Lapangan Terbang Changi dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. 

Di bawah VTL darat pula, pelawat boleh membuat perjalanan antara Singapura dengan Johor Bahru, dengan mengambil khidmat bas tertentu untuk menyeberangi Koswe. 

Malaysia bakal membuka semula sepenuhnya sempadannya pada 1 April sedang ia memulakan peralihan ke fasa endemik COVID-19. 

Menjawab pertanyaan Mediacorp tentang pengumuman tersebut awal bulan ini, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) menyatakan butiran untuk melonggarkan sekatan sempadan darat sedang diusahakan. 

"Saya boleh berkongsi bahawa kami akan mempertimbangkan kereta, motosikal dan bas-bas tambahan, termasuk bas privet yang ditempah syarikat untuk pekerja mereka melakukan perjalanan ulang-alik," menurut Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong awal bulan ini. 

"Kami sedang melihat pelbagai aspek dan ini juga melibatkan perubahan yang ketara kepada operasi di tempat-tempat berkenaan." 

Perdana Menteri Lee Hsien Loong akan memberi kemas kini situasi semasa COVID-19 dalam siaran langsung pada pukul 11.00 pagi esok (23 Mac), menurut catatannya ke Facebook. 

PM Lee kali terakhir membuat ucapan pada 9 Oktober tahun lalu apabila beliau mengulas tentang "laluan Singapura ke arah new norma".

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan