S'pura, M'sia bakal meterai Rangka Kerja Kerjasama ekonomi hijau & digital

(Gambar: Lim Sin Thai/MCI)
SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong menantikan untuk memuktamadkan dan memeterai dua Rangka Kerja Kerjasama dalam ekonomi hijau dan digital antara Singapura dan Malaysia.
Ia diumumkan awal Selasa (23 Ogos) bahawa kedua-dua negara sudahpun memuktamadkan rundingan mengenai kedua-dua Rangka Kerja Kerjasama itu.
“Dengan menyokong pertumbuhan dan pembangunan antara satu sama lain, kami berharap dapat mewujudkan lebih banyak peluang untuk kedua-dua negara dalam bidang pertumbuhan ini,” kata PM Lee dalam catatan terkini di Facebook beliau.
Dalam catatan yang sama, beliau menyambut Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia Mohamed Azmin Ali di Istana pada Selasa (23 Ogos) dalam lawatan rasminya ke Singapura.
“Menteri Kanan Azmin dan saya membincangkan kemajuan dalam kerjasama ekonomi kami dalam bidang dua hala dan pelbagai hala, termasuk dalam bidang baru seperti ekonomi hijau dan digital,” tulis PM Lee dan melampirkan foto beliau dan Encik Mohamed Azmin.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata Rangka Kerja Kerjasama itu menjadi asas kepada inisiatif dua hala pada masa depan berkaitan dengan ekonomi digital dan hijau.
Malaysia dan Singapura turut bersetuju untuk berusaha ke arah menandatangani kedua-dua Rangka Kerja Kerjasama pada akhir 2022, menurut MITI.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.