S'pura, M'sia akan bekerjasama pertingkat kehidupan sosio-agama masyarakat Islam, dedah Masagos
Encik Masagos bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad. (Gambar: Masagos Zulkifli/Facebook)
SINGAPURA: Singapura dan Malaysia akan bekerjasama dalam beberapa bidang utama yang dijangka akan memperbaiki kehidupan sosio-agama masyarakat Islam di kedua-dua negara.
Di samping itu, Singapura dan Malaysia akan terus bekerjasama dalam usaha untuk mengukuhkan pentadbiran ehwal masyarakat Islam.
Perkembangan ini dikongsi oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli di laman Facebooknya pada Sabtu (5 Feb) selepas menggulung lawatannya selama tiga hari ke Malaysia.
Dalam pertemuannya dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, Encik Masagos berkongsi tentang bagaimana sinergi antara Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), MENDAKI dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (MESRA) dijadikan sebagai jentera untuk memacu pembangunan serta kemajuan masyarakat Melayu/Islam ke arah visi Masyarakat Gemilang.
Semasa mengadakan rundingan dengan Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man pula, Encik Masagos berbincang tentang pelbagai isu semasa termasuk perkembangan dunia.
Encik Masagos turut berkongsi dalam catatan Facebooknya bahawa sepanjang lawatannya ke Malaysia, dua perkara muncul sebagai tunjang perbincangannya dengan rakan-rakan sejawatannya di Malaysia.
Pertama, kedua-dua pihak akur bahawa Singapura dan Malaysia adalah jiran dengan pertalian yang cukup erat dan sangat dihargai sejak sekian lama.
Kedua, kedua-dua pihak juga bersetuju bahawa dengan bekerjasama antara satu sama lain, kedua-dua negara akan dapat bergerak maju dan makmur apabila pandemik COVID-19 berakhir kelak.
Dengan penyambungan semula aturan perjalanan penumpang sudah divaksin (VTL), Encik Masagos yakin kedua-dua Singapura dan Malaysia boleh bersama-sama melangkah maju ke hadapan.
Encik Masagos turut mengundang rakan-rakan sejawatannya dari Malaysia untuk melakukan lawatan ke Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.