S'pura meterai kerjasama penerokaan angkasa lepas dengan AS
Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong menandatangani perjanjian Artemis Accords pada 28 Mac 2022. (Gambar: CNA/Jeremy Long)
WASHINGTON: Singapura menandatangani perjanjian Artemis Accords, menjadikan negara ke-18 dan negara Asia Tenggara pertama untuk menyertai pakatan yang diketuai Amerika Syarikat (AS) dalam penerokaan angkasa lepas.
Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong menandatangani perjanjian itu pada Isnin (28 Mac) di Washington DC sempena lawatan Perdana Menteri Lee Hsien Loong ke AS.
Perjanjian itu, yang dipimpin Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) adalah satu set komitmen tidak terikat berdasarkan Perjanjian Angkasa Lepas 1967.
Dengan tujuan menggalakkan penggunaan ruang angkasa yang aman, mampan dan bermanfaat bagi manusia, perjanjian itu menetapkan rinsip utama berhubung kegiatan yang berkaitan dengan penerokaan angkasa lepas, sains dan perdagangan.
Sebagai contoh, semua aktiviti di bawah perjanjian itu hendaklah semata-mata untuk tujuan damai dan negara anggota harus telus dalam penyebaran maklumat mengenai dasar dan pelan angkasa mereka.
Prinsip lain termasuk komitmen untuk berkongsi data saintifik secara terbuka dan rancangan untuk mengurangkan serpihan angkasa, serta memelihara warisan angkasa lepas.
Perjanjian Artemis Accords diumumkan buat pertama kali pada 2020 dengan lapan anggota pengasas - Australia, Kanada, Itali, Jepun, Luxembourg, Amiriah Arab Bersatu, United Kingdom dan AS.
Senarai anggota semakin bertambah termasuk Bahrain, Brazil, Israel, Mexico, New Zealand, Poland, Korea Selatan, Romania dan Ukraine.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.