Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura mesti 'gandakan' usaha susun semula ekonomi bagi tangani kejutan luar dengan lebih baik

Anggaran Waktu Membaca:
 S'pura mesti 'gandakan' usaha susun semula ekonomi bagi tangani kejutan luar dengan lebih baik

Gambar fail Encik Lawrence Wong di Parlimen.

SINGAPURA: Singapura perlu menggandakan usaha untuk menyusun semula dan merubah ekonominya bagi memastikan ekonomi negara ini lebih berdaya tahan terhadap kejutan-kejutan di luar negara, kata Menteri Kewangan Lawrence Wong pada Isnin (4 April).

Semasa berucap di Parlimen, Encik Wong berkata bahawa Singapura kini berdepan dengan peningkatan tenaga elektrik dan bahan api akibat pencerobohan Rusia di Ukraine.

Sekalipun tanpa konflik tersebut, Singapura akhirnya perlu menyesuaikan diri dengan kenaikan harga tenaga, sedang ia cuba mengurangkan pelepasan karbon dan beralih ke tenaga bersih.

Dari segi tenaga kerja, Singapura juga akan terus menghadapi pasaran buruh yang ketat disebabkan oleh penduduknya yang semakin menua.

Pendek kata, buruh dan karbon adalah kekangan yang akan berlarutan dan bukan bersifat sementara bagi ekonomi Singapura, tekan Encik Wong.

“Oleh itu, kita tidak boleh mengimbangi kos ini buat selama-lamanya,” kata Encik Wong semasa menyampaikan Kenyataan Menteri bersama Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan Tan See Leng mengenai inflasi dan kos perniagaan.

“Sebaliknya, pendekatan yang lebih berdaya maju ialah dengan menggandakan usaha untuk menyusun semula dan merubah ekonomi kita bagi menjadikannya lebih inovatif, lebih produktif dan lebih cekap tenaga.

"Usaha ini akan membantu ekonomi kita menjadi lebih berdaya tahan terhadap kejutan-kejutan luaran," kata Encik Wong.

Ia juga akan menyediakan pertumbuhan pendapatan yang mampan dan berterusan untuk rakyat Singapura dengan pendapatan meningkat lebih pantas daripada inflasi.

Ini akan membantu Singapura mengekalkan dan mengembangkan kuasa pembeliannya, di samping mencapai taraf hidup yang lebih tinggi, katanya lagi.

Encik Wong turut menarik perhatian bagaimana krisis COVID-19 "mengejutkan" perniagaan-perniagaan untuk mendakapi pendigitalan sejak dua tahun kebelakangan ini.

"Dengan cara yang sama, saya berharap peningkatan semasa pada kos perniagaan dan harga tenaga akan mendorong firma-firma untuk mengubah minda mereka, proses-proses mereka dan amalan-amalan mereka," kata Encik Wong.

Beliau turut menggesa perniagaan-perniagaan di sini supaya memanfaatkan sepenuhnya pelbagai skim sokongan Pemerintah untuk membantu syarikat-syarikat meningkatkan daya penghasilan dan kecekapan penggunaan tenaga bagi mempercepatkan penyusunan semula dan transformasi mereka.

Sumber : Today/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan