Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura luluskan pil Paxlovid Pfizer untuk rawat pesakit dewasa COVID-19

Singapura meluluskan penggunaan pil Paxlovid keluaran Pfizer untuk merawat pesakit dewasa COVID-19 yang berisiko tinggi terkena penyakit teruk.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Singapura meluluskan penggunaan pil Paxlovid keluaran Pfizer untuk merawat pesakit dewasa COVID-19 yang berisiko tinggi terkena penyakit teruk.

Kelulusan sementara untuk ubat oral itu diberikan di bawah Laluan Akses Khas Pandemik (PSAR) pada 31 Januari, menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Khamis (3 Feb).

"Pil ini adalah ubat oral yang pertama diluluskan di Singapura untuk merawat gejala ringan hingga sederhana COVID-19 bagi pesakit dewasa yang berisiko tinggi terkena penyakit teruk untuk mengurangkan risiko mereka dimasukkan ke hospital dan meninggal dunia," menurut HSA.

Pil tersebut perlu diambil dua kali sehari selama lima hari, menurut HSA, dengan rawatan dimulakan "secepat mungkin selepas diagnosis, dalam tempoh lima hari selepas pesakit mengalami simptom COVID-19."

HSA menambah bahawa pil itu akan diberikan dan diberi keutamaan kepada mereka yang berisiko lebih tinggi terkena penyakit teruk, seperti yang diarahkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH).

Paxlovid didapati berupaya mengurangkan risiko kemasukan ke hospital atau kematian berkaitan COVID-19 sebanyak 88.9 peratus apabila rawatan dijalankan dalam masa tiga hari setelah pesakit mengalami simptom, menurut semakan HSA terhadap data klinikal yang tersedia.

Apabila diberikan dalam tempoh lima hari selepas pesakit mengalami gejala, pil itu berupaya mengurangkan risiko sebanyak 87.8 peratus.

Menurut HSA, data keselamatan menunjukkan bahawa Paxlovid "boleh ditangani dengan baik".

"Insiden kesan sampingan buruk yang dilaporkan dalam kajian klinikal secara amnya rendah. Kesan sampingan yang dilaporkan secara amnya adalah antara ringan dengan sederhana, seperti deria rasa yang berubah, cirit-birit, muntah, darah tinggi, sakit otot (myalgia) dan rasa seram sejuk."

Pil itu juga mungkin bertindak balas dengan ubat-ubatan lain, seperti ubat bagi degupan jantung tidak teratur, sakit kepala dan kolesterol, menurut HSA, sambil menambah bahawa ia boleh meningkatkan jumlah ubat ini dalam darah, menyebabkan "kesan sampingan yang serius".

"Dalam pada itu, sesetengah ubat-ubatan seperti ubat bagi merawat sawan mungkin mengurangkan paras Paxlovid yang boleh menjejas keberkesanan ubat tersebut.

"Potensi berlaku tindak balas antara ubat-ubatan perlu dipertimbangkan dengan teliti oleh doktor yang memberikan preskripsi ubat sebelum rawatan itu dimulakan."

Berdasarkan bukti klinikal sedia ada, HSA menyatakan manfaat Paxlovid mengatasi risikonya, dan terdapat "profil manfaat-risiko yang menggalakkan" bagi merawat jangkitan COVID-19 yang ringan hingga sederhana dalam kalangan pesakit dewasa yang berisiko tinggi terkena penyakit teruk.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan